Jangan kaut untung daripada derita orang lain: Pemadam

Perhimpunan Agung Tahunan Pemadam Kebangsaan Ke-45 diadakan di Hotel Grand Barakah di Ampang pada Khamis.
Perhimpunan Agung Tahunan Pemadam Kebangsaan Ke-45 diadakan di Hotel Grand Barakah di Ampang pada Khamis.
A
A
A

AMPANG - Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) memberi amaran agar tiada pihak berhasrat mengaut keuntungan berbilion hasil daripada kemusnahan hidup orang lain.

Timbalan Yang Dipertua Pemadam Kebangsaan, Datuk Suhaimi Abdullah berkata, ini kerana kaedah 'matlamat menghalalkan cara' tidak boleh digunakan dalam mencapai cita-cita dalam kehidupan.

"Khususnya pemain industri sama ada rokok, rokok elektronik atau vape, ketum dan 'hemp' (cannabis sativa), iaitu spesies ganja serta pihak mengimpikan keuntungan tahunan berbillion ringgit.

"Pastikan anda semua bersiap sedia dan bertanggungjawab dengan kemusnahan sedang dilakarkan atas penderitaan orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Perhimpunan Agung Tahunan Pemadam Kebangsaan Ke-45 diadakan di Hotel Grand Barakah di Ampang di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pemadam juga mengesa pihak tertentu yang melobi untuk menjadikan kawasan Wilayah Persekutuan Putrajaya untuk penanaman 'hemp' agar menghentikan usaha tersebut.

"Putrajaya ada pusat pentadbiran negara yang wajib dikecualikan daripada projek yang sedemikian rupa kerana masih banyak lagi kaedah lain untuk menjadi kaya raya dengan cara halal," katanya.

Beliau berkata, sepanjang bermula 2019 sehingga 2021 adalah tahun suram bagi penduduk di seluruh dunia namun semangat Pemadam tidak pernah luntur dalam usaha yang dilaksanakan selama ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perubahan tampuk kepimpinan negara juga tidak pernah mengubah hala tuju Pemadam walaupun pelbagai cabaran perlu ditempuh badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.

"Cabaran mengemudikan Pemadam bukan mudah dan Pemadam tidak mampu bersendirian dalam mendepani segala macam rencam untuk melaksanakan agenda mencegah dadah di negara ini.

"Oleh yang demikian, saya amat mengharapkan sokongan jitu yang berterusan daripada semua pihak termasuk pihak kerajaan sendiri terdiri dari kementerian, agensi dan jabatan kerajaan," katanya.

Malah, katanya, NGO seluruh negara serta orang perseorangan juga boleh bersama-sama berganding bahu dalam membantu Pemadam dalam menjayakan agenda ini.

"Kita selaku ahli Pemadam teruslah cekal hati dan menetapkan matlamat permasalahan dadah dan substan ini akan dapat kita cegah dan dikurangkan kemudaratannya," tambahnya.