EKONOMI

PELABURAN: PERAK CATAT RM5.2 BILION BAGI TEMPOH ENAM BULAN PERTAMA TAHUN INI

06/10/2021 02:54 PM

IPOH, 6 Okt -- Perak berada di landasan yang kukuh bagi memasuki fasa pemulihan ekonomi apabila merekodkan prestasi pelaburan memberangsangkan sebanyak RM5.2 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 126 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata nilai pelaburan yang direkodkan dari Januari hingga Jun lepas itu hampir menyamai prestasi nilai pelaburan keseluruhan sepanjang tahun 2020 yang berjumlah RM5.6 bilion.

“Prestasi itu menunjukkan Perak masih mampu merekodkan peningkatan pelaburan meskipun berdepan dengan persekitaran sangat mencabar susulan pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan terhadap perjalanan ekonomi utama di seluruh dunia.

“Pelaburan Januari hingga Jun 2021 di negeri Perak didominasi oleh projek-projek perkilangan apabila jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor itu adalah sebanyak RM4.06 bilion meliputi 21 buah projek,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kerajaan negeri hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman.

Jelasnya, antara projek terbesar yang telah diluluskan dalam sektor perkilangan di negeri Perak sepanjang tempoh berkenaan adalah membabitkan bidang akuakultur, makanan akuakultur berprestasi tinggi, pembuatan sarung tangan getah dan pembuatan kelengkapan bagi industri automotif.

Menurutnya, kesemua projek berimpak tinggi ini menyumbang 90 peratus daripada jumlah nilai pelaburan projek perkilangan dan mewakili 70 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan untuk pelbagai sektor yang diluluskan di negeri Perak bagi tempoh Januari hingga Jun 2021.

Tegasnya, bagi sektor perkhidmatan dan sektor utama pula, masing-masing mencatatkan jumlah pelaburan yang telah diluluskan sebanyak RM1.15 bilion dan RM0.022 juta apabila jumlah projek untuk kedua-dua sektor ini adalah sebanyak 151 projek.

Saarani menarik perhatian kelulusan pelaburan dalam semua sektor diunjur mewujudkan 4,162 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat negeri Perak dengan sektor perkilangan menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 91.4 peratus.

“Kerajaan negeri akan terus menggiatkan usaha termasuk melipatgandakan kerjasama dengan pihak MIDA yang membantu memperkasakan proses perniagaan selain meningkatkan kecekapan pelbagai fungsi organisasi,” katanya.

Dalam pada itu, Arham berkata terdapat pelaburan yang ditolak kerana tidak menepati syarat dan polisi yang ditetapkan iaitu mesra alam sekitar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan