SKMM sekat 4,068 laman pornografi

Sejumlah 4,068 laman pornografi telah disekat oleh Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari tahun 2018 hingga 30 September tahun ini. Gambar hiasan 123rf
Sejumlah 4,068 laman pornografi telah disekat oleh Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari tahun 2018 hingga 30 September tahun ini. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 4,068 laman pornografi telah disekat oleh Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari tahun 2018 hingga 30 September tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, langkah itu diambil bagi membendung adegan seksual dan kandungan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada dilayari rakyat di negara ini.

Menurut beliau, selain penyekatan akses kepada laman web terlibat, pihaknya turut melakukan pendakwaan dan tindakan undang-undang.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan kesalahan bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain bagi membuat, mewujudkan, meminta-minta; dan memulakan penghantaran kandungan yang lucah, sumbang, palsu, mengancam, dan jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

“Jika disabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit (RM50,000) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang minta kementeriannya menyatakan langkah membendung adegan seksual dan kandungan berkaitan LGBT dalam program yang disiarkan menerusi perkhidmatan penstriman atas talian seperti Netflix.

Mengulas mengenai penstriman atas talian seperti Netflix, penarafan filem dan rancangan televisyen yang dilakukan oleh syarikat penyedia perkhidmatan penstriman video luar negara seperti Netflix adalah dijalankan secara kendiri dan ditetapkan oleh organisasi standard yang biasanya berada di bawah setiap peringkat kematangan Netflix berbeza mengikut mengikut wilayah, negara dan rantau.

“Selain itu, Netflix turut menyediakan khidmat kawalan ibu bapa (parental control) bagi mengupayakan golongan ibu-bapa mahupun penjaga dalam mengawal selia penggunaan platform tersebut oleh anak-anak mereka.

Artikel Berkaitan:

“Ia berfungsi di mana sesetengah kandungan seperti filem yang ditarafkan sebagai ‘Remaja’ dan ‘Dewasa’ dapat disekat daripada ditonton, dengan kata laluan yang ditetapkan oleh ibu bapa dan penjaga,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Zahidi turut memberitahu, sejumlah 407 laman berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak telah disekat melalui kerjasama antara SKMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Interpol sejak tahun tahun 2015 hingga 30 September lalu.

“Bagi isu kesalahan pornografi dalam talian yang melibatkan kanak-kanak, pihak SKMM sentiasa menjalinkan kerjasama baik dengan PDRM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Interpol di peringkat antarabangsa dalam operasi penguatkuasaan secara bersama termasuklah dari segi penguatkuasaan dan tindakan sekatan terhadap kandungan atau laman-laman sesawang yang berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak,” katanya.