Spekulasi jawatan TPM: UMNO tenang, hanya tumpu kebajikan rakyat

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

SHAH ALAM – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan hal berkaitan kebajikan dan kesejahteraan rakyat menjadi agenda utama parti.

Justeru, beliau menolak dakwaan mengatakan wujud persaingan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam UMNO sehingga mencetuskan polemik dan kekecohan dalam kalangan ahli.

“Akhbar kata persaingan jawatan TPM parti UMNO mencetuskan polemik dan kekecohan dalam kalangan ahli-ahlinya.

“Mana ada kecoh, ahli-ahli UMNO tenang saja. Ini kerana kami komited tumpu kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi entri di Facebooknya hari ini.

Sejak kelmarin, beberapa pemimpin yang disebut untuk dilantik sebagai TPM ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Bendahari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun, Hishammuddin dalam satu kenyataan semalam menafikan yang beliau berusaha untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri susulan nama beliau adalah antara yang dikaitkan untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Hishammuddin berkata, beliau tidak pernah berbuat demikian seperti mana yang sedang tersebar.

Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Raffi turut menafikan bahawa UMNO akan membincangkan spekulasi yang tular sejak kelmarin.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Hishammuddin nafi mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri