Dewan Negara lulus RMK12

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dewan Negara pada Khamis meluluskan Usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), rancangan pembangunan negara untuk tempoh 2021 hingga 2025.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Dr Mohamad Ali Mohamad berkata, usul itu disetujukan apabila lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju selepas dibahaskan selama empat hari bermula 12 Oktober melibatkan 40 senator, disusuli penggulungan oleh 27 kementerian terlibat selama dua hari.

Antara isu yang dibangkitkan dalam sesi perbahasan adalah mengenai orang kurang upaya (OKU), belia, kadar gaji minimum, tahap kesihatan awam dan vaksinasi melibatkan orang asli.

Persidangan pada Khamis menyaksikan 12 kementerian meneruskan penggulungan perbahasan termasuk empat jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Pada 12 Oktober lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMK12 di Dewan Negara yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara.

Mengikut takwim Dewan Negara, persidangan pada Isnin ini akan diteruskan dengan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin. - Bernama

Artikel Berkaitan: