PN sudah ada pendirian pelantikan Timbalan Speaker

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional di Ibu Pejabat Perikatan Nasional Publika pada Khamis. - Foto Bernama
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional di Ibu Pejabat Perikatan Nasional Publika pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) telah mempunyai pendirian berhubung pelantikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendirian tersebut akan disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Mesyuarat (PN) mengambil pendirian untuk saya bertemu dengan Perdana Menteri memberikan pandangan yang telah diputuskan berhubung dengan pelantikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN di sini pada Khamis.

Muhyiddin menambah, pendirian itu dibuat selepas adanya pihak mengeluarkan kenyataan berhubung perlunya meminda perlembagaan bagi menambah bilangan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang, dengan salah seorang dilantik daripada kalangan wakil rakyat pembangkang.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan pendirian PN pada sidang akhbar tersebut.

Pelantikan jawatan itu sebelum ini ditangguhkan ketika persidangan Dewan Rakyat bermula baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini berkata, kerajaan akan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menambah seorang lagi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat kepada tiga, yang mungkin seorang daripadanya daripada pembangkang.

Pindaan itu katanya akan membabitkan Perkara 57 (1) (b) bagi menambah jumlah timbalan speaker daripada dua kepada tiga.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, dua nama dikatakan telah dicalonkan iaitu Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mewakili blok kerajaan manakala Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming merupakan calon daripada Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Majlis Tertinggi PN juga telah menetapkan majlis pelancaran rasmi parti PN peringkat kebangsaan.

“Ia akan diadakan pada bulan November 2021 dan PN negeri Selangor akan menjadi tuan rumah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, PN juga telah mencapai ketetapan untuk menyokong Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 September lalu.

“PN akan memainkan peranan untuk menyampaikan pandangan dan pendirian dari masa ke semasa mengenai pelaksanaan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik,” ujarnya.