Kesan buruk pada ekosistem, MAFI kemuka usul tolak projek PSR

Sebahagian besar nelayan di selatan Pulau Pinang akan terjejas sekiranya Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan dijalankan.
Sebahagian besar nelayan di selatan Pulau Pinang akan terjejas sekiranya Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan dijalankan.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi bayangan bahawa tidak mustahil untuk mengemukakan cadangan agar kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) ditolak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ada kemungkinan kementeriannya juga akan membuat usul kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk menolak Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek tersebut.

Menurutnya, perkara berkenaan adalah antara peranan dan tugas yang boleh diambil kementeriannya selepas melihat kepada kesan buruk projek tersebut terutamanya terhadap hasil pengeluaran ikan negara.

"Kemungkinan itu (meminta EMP tidak diluluskan) memang sentiasa ada. Kita akan lebih cuba meneliti apa-apa peranan dan tugas yang boleh kita laksanakan (dalam memastikan projek PSR dibatalkan)," katanya pada sidang akhbar di Pasar Nelayan Teluk Kumbar di sini pada Rabu.

Sebelum itu, beliau membuat tinjauan dan bertemu komuniti nelayan di Sungai Batu dan Teluk Kumbar bagi memperolehi maklum balas terhadap projek PSR itu.

Mengulas mengenai maklum balas Ketua Menteri, Chow Kon Yeow terhadap kenyataannya mengenai PSR sebelum ini, Che Abdullah berkata, sebagai pemimpin nombor satu Pulau Pinang, Kon Yeow sepatutnya melihat kesan PSR dengan skop yang lebih besar.

Katanya, beliau tidak menyangka Kon Yeow melihat isu projek PSR dengan pandangan sempit sedangkan isu sebenar adalah kerosakan ekosistem laut di kawasan tersebut sekiranya projek itu tetap diteruskan.

"Saya meneliti maklum balas Ketua Menteri sebelum ini antaranya akan menyediakan alur atau laluan kepada nelayan untuk ke laut sekiranya projek itu diteruskan. Isunya bukan pasal sediakan alur untuk laluan nelayan ke laut atau tidak.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak faham kenapa isu ini dibawa kepada perbincangan sangat kecil seperti itu, sedangkan kita melihat kepada kerosakan keseluruhan habitat perikanan, tentang nelayan yang hilang punca rezeki yang tidak akan terbayar dengan apa-apa nilai pampasan atau ex-gratia kerajaan negeri," katanya.

Tegas beliau, Kon Yeow sepatutnya melihat isu projek PSR dalam skop yang lebih besar iaitu kesan jangka panjang kepada nelayan dan habitat hidupan marin di kawasan yang akan ditambak.

"Saya difahamkan, projek ini akan mengancam 87 spesies hidupan laut antaranya bawal putih; bawal tambak; udang kaki merah; udang harimau dan udang putih. Semua spesies ini mendatangkan pulangan lumayan kepada nelayan.

"Selain itu, hasil pendaratan perikanan dari kawasan PSR dan kawasan yang bakal terkesan dengan projek itu juga dianggarkan sebanyak 13,418.11 tan setahun atau 24.5 peratus dari keseluruhan hasil pendaratan di Pulau Pinang," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga hairan apabila Kon Yeow dilihat tidak bertanggungjawab dalam menaikkan sumbangan ikan Pulau Pinang kepada sumber perikanan negara.

"Dalam maklum balas beliau, Kon Yeow berkata sumbangan sumber perikanan dari kawasan projek PSR hanya menyumbang dua peratus kepada sumber perikanan negara.

"Sepatutnya sebagai Ketua Menteri, beliau bertanggungjawab untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha menambah baik sumber perikanan serta meningkatkan lagi pendaratan di kawasan tersebut.

"Secara tidak langsung ia dapat menaikkan lagi tahap sara diri (SSL) ikan negara dan memperkukuhkan sekuriti makanan negara," katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corp Sdn Bhd (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, pihaknya menunggu JAS memberi 'lampu hijau' kepada EMP yang dijangka dikeluarkan dalam waktu terdekat sebelum melaksanakan projek PSR, sesuai dengan garis panduan yang diluluskan.

Bagaimanapun, JAS dalam kenyataannya menafikan perkara itu dan memaklumkan jabatan tersebut belum menerima EMP mengikut turutan asal projek selepas EMP dikemukakan sebelum ini tidak sama seperti dalam Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang lulus pada 25 Jun 2019.