Kerajaan jamin barangan keperluan cukup

Seorang wanita membeli barangan keperluan harian di sebuah pasar raya. - Foto Bernama
Seorang wanita membeli barangan keperluan harian di sebuah pasar raya. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan memberi jaminan penutupan sebahagian besar sektor ekonomi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula Selasa tidak akan menjejaskan kestabilan bekalan barang keperluan terutama makanan di pasaran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, pemantauan dilakukan setiap hari dan tindakan segera akan diambil sekiranya berlaku pengurangan bekalan dalam pasaran.

Menurutnya, seramai 2,262 penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara turun ke lapangan bagi memantau dan memeriksa bekalan di setiap peringkat perniagaan termasuk runcit, pemborong dan ladang.

“Pemantauan dan pemeriksaan di setiap rantaian perniagaan juga mendapati bekalan barangan keperluan seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayuran, telur dan bawang juga melebihi 95 peratus.

“Malah, walaupun aktiviti beli-belah di pasar raya dilaporkan meningkat sejak tiga hari lalu berikutan pelaksanaan PKP penuh, bekalan masih stabil,” katanya selepas meninjau bekalan barang keperluan pengguna di pasar raya dan pemborong di sini pada Isnin.

Hadir sama Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Sementara itu Rosol berkata, borang kebenaran beroperasi bagi 11 sektor perdagangan dan pengedaran di bawah KPDNHEP yang dibenarkan dibuka sepanjang perintah PKP penuh boleh didapati secara dalam talian bermula jam 2 petang pada Isnin.

Katanya, antara sektor boleh beroperasi adalah pasar raya, restoran, dobi, stesen minyak, kedai penjagaan dan makanan haiwan, kedai perkakasan ('hardware'), bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti serta pemborong dan pengedaran produk perkhidmatan perlu.

Artikel Berkaitan:

“Selain pemantauan oleh penguatkuasa KPDNHEP, operasi semua sektor ini juga akan dipantau oleh 222 Pegawai Kepenggunaan Parlimen yang baru dilantik di seluruh negara bermula 1 Mei lalu sebagai mata dan telinga kita,” katanya.