Rakaman audio: Polis terima 18 laporan

Huzir Mohamed
Huzir Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah menerima 18 laporan berhubung rakaman audio yang didakwa merupakan perbualan Presiden Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan daripada 17 wakil politik dan seorang individu awam.

"Mereka mendesak agar siasatan dijalankan bagi menentukan kesahihan atau mungkin terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab telah memalsukan rakaman audio tersebut dengan tujuan untuk mencetuskan kegentaran awam dan mewujudkan perasaan tidak harmoni di antara kedua-dua parti politik," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Huzir berkata, penularan rakaman audio perbualan tersebut telah memberikan pelbagai persepsi negatif dan menimbulkan kebimbangan masyarakat berdasarkan kepada beribu komen netizen di media sosial memandangkan kedua-dua individu berkenaan merupakan pemimpin politik yang berpengaruh.

"Tindakan memanggil Anwar pada Selasa merupakan suatu prosedur biasa bagi melengkapkan siasatan.

"Rakaman percakapan beliau diperlukan bagi membantu siasatan tentang sejauh mana rakaman audio tersebut dapat disahkan sebagai perbualan di antaranya dengan Ahmad Zahid," katanya.

Menurutnya, siasatan terperinci juga perlu dijalankan untuk mengenal pasti individu yang membuat rakaman audio tersebut dan motif ianya disebarkan.

"Sama ada wujud modifikasi rakaman oleh pihak-pihak tertentu yang bertujuan untuk menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Huzir berkata, pihaknya telah memanggil yang Anwar untuk dirakam percakapan di bawah seksyen 112 kanun tatacara jenayah.

"Anwar telah hadir ke pejabat Unit Siasatan Jenayah Terrkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan ditemani oleh peguamnya," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaaan iaitu kenyataan yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran awam.

"Serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian setelah memperolehi perintah untuk menyiasat (order to investigate) mengikut peruntukan Seksyen 108 (2) Kanun Tatacara Jenayah daripada pendakwa raya," katanya.

Rakaman audio berdurasi empat minit 17 saat perbualan antara dua individu yang didakwa mirip suara Anwar dan Ahmad Zahid itu mula tular di beberapa laman sosial dan rangkaian telekomunikasi pada awal April telah mencetuskan kebimbangan serta kegentaran kepada awam yang kemudiannya tampil untuk membuat laporan polis.