Rasuah boleh membeli, menjatuhkan kerajaan: Pejuang

Marzuki ketika merasmikan Virtual Hunt: Rasuah Musuh Negara secara dalam talian pada Ahad.
Marzuki ketika merasmikan Virtual Hunt: Rasuah Musuh Negara secara dalam talian pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Perlakuan rasuah telah menjadi amalan 'mulia' di Malaysia sehingga menghakis demokrasi apabila rasuah kini dilihat boleh membeli dan menjatuhkan sesebuah kerajaan.

Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya berkata, ia dapat dilihat apabila peralihan kuasa hanya ditentukan pihak tertentu hingga mengenepikan kuasa rakyat.

Menurutnya, jika amalan tidak bermoral itu tidak disekat ia bakal menyaksikan negara tidak berupaya melahirkan pemimpin yang kompeten pada masa akan datang.

"Kita (mungkin) hanya dapat menerima pemimpin yang mampu memberi wang kepada rakyat iaitu dengan jalan rasuah. Maka adakah sanggup anak-anak muda hari ini membiarkan (rasuah di) negara kita ini terus bermaharajarela?.

"Untuk melawan rasuah ini kita tidak perlu kira apa latar belakang kita, jangan peduli apa juga latar belakang tetapi apa yang penting adalah untuk kita lawan (rasuah).

"Rasuah ini perlu kita lawan kerana bagi kita ia adalah jati diri sebagai anak Malaysia dan sebagai rakyat Malaysia kita mahu negara kita sebuah negara yang bebas daripada rasuah," katanya ketika merasmikan Virtual Hunt: Rasuah Musuh Negara secara dalam talian pada Ahad.

Mengulas lanjut, Marzuki berkata, masyarakat dunia juga melihat Malaysia sebagai sebuah negara perasuah berikutan peralihan kuasa tidak berlaku mengikut sistem yang sebetulnya.

"Jadi, saya lihat ini (persepsi negara luar terhadap negara) akan membawa kepada suatu perkara yang mungkin merosakkan negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, rakyat di negara ini khususnya golongan muda diajak untuk bersama-sama menyertai Pejuang bagi menghapus amalan rasuah.

"Maka, inilah ketika dan masanya untuk kita bangun, bangkit melawan semua ini demi jaminan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang," katanya.