Rumah terbakar, pasangan warga emas terselamat

Kebakaran memusnahkan 80 peratus struktur rumah yang didiami pasangan warga emas di Teluk Intan. - Foto: ihsan bomba
Kebakaran memusnahkan 80 peratus struktur rumah yang didiami pasangan warga emas di Teluk Intan. - Foto: ihsan bomba
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang wanita warga emas terpaksa memapah suaminya yang uzur untuk keluar menyelamatkan diri dalam kebakaran di Kampung Bahagia di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, pasangan berusia lingkungan 60-an menyedari terdapat api di bahagian atas rumah dua tingkat itu.

Pasangan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 5.06 petang.

Menurutnya, setibanya di lokasi didapati api sedang marak menyambar rumah dua tingkat yang struktur binaannya separa batu dan kayu.

Anggota bomba melakukan pemadaman sebuah rumah di Teluk Intan. - Foto: ihsan bomba
Anggota bomba melakukan pemadaman sebuah rumah di Teluk Intan. - Foto: ihsan bomba

"Kerja-kerja memadam kebakaran segera dilakukan dan kita dapat mengawal kebakaran itu dari merebak dalam tempoh 30 minit.

"Kebakaran itu memusnahkan 80 peratus rumah berkenaan serta dua buah motosikal dan sebuah kereta Perodua Axia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ismail berkata, seramai 22 anggota dari BBP Teluk Intan dibantu anggota BBP Hutan Melintang dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan terlibat dalam operasi tersebut.

Katanya, operasi tamat pada jam 7.06 petang dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.