Ibu tidak mengaku abai dua anak hingga cedera

No Image Caption
A
A
A

SELAYANG - Seorang ibu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas pertuduhan mengabaikan dua anak perempuannya yang berusia dua dan tiga tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal, bulan lalu.

Siti Julaida Abdullah, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Mengikut pertuduhan, wanita itu yang tidak mempunyai kad pengenalan diri, didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun (tiada sijil lahir) telah mengabaikan kanak-kanak itu itu tanpa pengawasan dan penjagaan, sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal di badan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu kandung, teman lelaki ditahan disyaki dera dua anak

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pangsapuri di Taman Samudera Batu Caves, di sini pada 26 Jun lalu.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie manakala wanita yang bekerja sebagai tukang urut itu, tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan ikat jamin kerana tertuduh tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 6 September ini untuk sebutan semula kes dan laporan perubatan kedua-dua kanak-kanak itu.

Minggu lalu Sinar Harian melaporkan, dua kanak-kanak perempuan berusia dua dan tiga tahun ditemui dalam keadaan terabai dengan kesan lebam di tangan, kaki, pipi dan dagu di tepi jalan di Taman Samudera.

Mereka ditemui orang awam jam 1 tengahari apabila melihat mangsa bermain di kawasan itu tanpa pengawasan.