DUNIA

HUBUNGAN MALAYSIA-UZBEKISTAN KEKAL BERDAYA TAHAN WALAUPUN HADAPI TEMPOH MENCABAR

16/04/2021 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 16 April -- Malaysia dan Uzbekistan mencapai kesepakatan dan kerjasama dalam pelbagai bidang terutama ketika kemuncak pandemik COVID-19 tahun lalu, membolehkan hubungan  kedua-dua negara kekal berdaya tahan dalam sektor politik, ekonomi, perdagangan, pelancongan dan pendidikan.

Menurut kenyataan kedutaan Uzbekistan di Malaysia, pandemik global terbukti menjejaskan hubungan diplomatik di seluruh dunia, namun hubungan Malaysia dan Uzbekistan kekal kukuh pada tempoh yang mencabar ini.

"Hubungan dua hala Uzbekistan dan Malaysia terus makmur selama lebih dua dekad dan kini ia  semakin kukuh apabila kedua-dua negara tahun ini menyambut ulang tahun ke-29 hubungan diplomatik dan dua hala. 

"Hubungan itu dibina atas dasar saling menghormati, keamanan, dan kemakmuran bersama," kata kedutaan dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Uzbekistan dan Malaysia mula menjalinkan hubungan diplomatik pada 1992, setahun selepas republik itu mengisytiharkan kemerdekaannya dari Soviet Union, dan menganggotai kumpulan negara-negara bekas wilayah Kesatuan Soviet dikenali Komanwel Negara-Negara Merdeka.

Uzbekistan terus menjadi rakan strategik ekonomi dan perdagangan Malaysia di Asia Tengah, dengan perolehan perdagangan antara kedua-dua negara mencatatkan hampir US$76 juta pada 2020.

Menurut kenyataan itu, Forum Antara Parlimen Malaysia dan Uzbekistan kali kedua telah berlangsung semalam.

Selain itu, kedua-dua negara juga pernah menganjurkan beberapa program lain termasuk Forum Antara-Parlimen kali pertama pada Jun 2020, menubuhkan Kumpulan Persahabatan antara Parlimen pada 2020 serta penubuhan Jawatankuasa Perdagangan Bersama Uzbek-Malaysia pada 2005.

Sebelum ini, Duta Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov dilaporkan berkata pembukaan pejabat MATRADE di Tashkent pada Oktober 2019 menunjukkan minat mendalam kerajaan Malaysia untuk memperluas lagi hubungan dagangan dua hala dengan Uzbekistan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan