Pemuda Pas syor kerajaan kukuh hubungan dengan Taliban

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas mencadangkan supaya kerajaan memula dan mengukuhkan hubungan dua hala dengan pemerintahan Taliban di Afghanistan.

Ketuanya, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, ini kerana Malaysia diyakini mampu mengakomodasi penerimaan komuniti antarabangsa terhadap Afganistan melalui prinsip tadbir urus yang inklusif dan kesyumulan Islam.

Jelasnya, ia bersandarkan rekod baik Malaysia yang mempunyai skil diplomatik aras tinggi.

"Apa yang membingungkan, tatkala negara Islam masih terkial-kial, China telah mengambil kesempatan mengadakan rundingan diplomasi peringkat tertinggi antara Menteri Luar, Wang Yi dengan Naib Ketua Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar.

"China menyalurkan dana berbilion ringgit untuk mengukuh Belt and Road Initiative (BRI) di Afghanistan.

"Konflik berterusan tidak akan menguntungkan sesiapa melainkan segelintir ‘military- industrial-complex’ yang dahagakan darah demi tembolok mereka sahaja.

"Jika China komunis boleh menghulurkan tangan kepada Afghanistan di bawah Taliban, mengapa tidak kita sebagai saudara se-Islam?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Muktamar Dewan Pemuda Pas Kali Ke-62 secara maya pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Perasmian muktamar itu disempurnakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, pendirian yang disuarakan Pemuda Pas itu sebagai cadangan kepada dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan di bawah pemerintahan Taliban.

"Perkembangan mutakhir menyajikan penguasaan Taliban di Afghanistan. Setelah 20 tahun dicengkam imperalis Amerika Syarikat, rakyat telah memberi sokongan terhadap Taliban.

"Rakyat muak dengan kebejatan rasuah dan kegagalan pelaksanaan kanun Syariah oleh kerajaan," katanya.