PKPD di tiga lokaliti di Sabah, Sarawak

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lokaliti iaitu dua di Sabah termasuk di sebuah sekolah menengah dan satu di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Sabtu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti berkenaan ialah di Kampung Skim Cocos dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai, Kunak di Sabah serta Kampung Sagah, Jalan Sungai Tengah Matang, Kuching di Sarawak.

Menurutnya, sebanyak 186 ujian saringan dibuat dan lapan daripadanya disahkan positif Covid-19 di Kampung Skim Cocos manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 18 kes positif Covid-19 hasil daripada keseluruhan 185 ujian saringan dilakukan ke atas penghuni sekolah dan penduduk di lokaliti SMK Madai, Kunak, Sabah.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti terbabit berkuat kuasa 1 Mei sehingga 14 Mei ini.

"KKM turut merekodkan 17 kes positif Covid-19 hasil daripada keseluruhan 148 ujian saringan di Kampung Sagah, Jalan Sungai Tengah Matang, Kuching, Sarawak dan kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD juga selama 14 hari berkuat kuasa 1 Mei.

"Pelaksanaan PKPD adalah untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes Covid-19 selain menyekat penularan jangkitan dari kawasan berisiko ke kawasan lain luar di lokaliti tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan PKPD di Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan yang dijadualkan tamat pada Sabtu dilanjutkan selama 14 hari bermula Sabtu sehingga 14 Mei.

Menurutnya, sebanyak 596 ujian saringan dibuat dan 67 daripadanya disahkan positif Covid-19 dalam tempoh dua minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, KKM memaklumkan terdapat kes baru direkodkan dengan kadar jangkitan masih tinggi di lokaliti ini selain terdapat 356 sampel ujian saringan sedang menunggu keputusan.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan bermula 1 Mei sehingga 14 Mei," katanya.