Permit eksport bauksit tidak dapat, tapi rugi RM512,000

Gambar kecil: Mohd Wazir
Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengurus syarikat kerugian RM512,000 selepas ditipu dalam urusan permit pengeksport bauksit tidak wujud empat tahun lalu.

Mangsa berusia 52 tahun bersama tiga lagi rakan kongsi menubuhkan sebuah syarikat pada 2017 kerana berminat dalam urusan eksport bahan mineral itu namun akhirnya berputih mata apabila wang dilaburkan lesap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula apabila salah seorang daripada rakan kongsinya yang dikenali sebagai Mr Ting telah berurusan dengan seorang lelaki dikenali Nazirul Shafiq dipercayai boleh menjual permit eksport bauksit di sekitar Kuantan.

Menurutnya, setelah mengadakan perbincangan, semua rakan kongsi bersetuju untuk berurusan dengan Nazirul Shafiq bagi tujuan itu.

"Mangsa turut menyatakan hasrat untuk membeli permit eksport dengan syarikat milik suspek yang bernilai RM9 satu tan dan bersetuju untuk membeli 50,000 tan yang dianggarkan bernilai RM450,000.

"Selepas itu, Mr Ting telah mengeluarkan cek syarikat dan memberi kepada suspek di Jalan Tun Ismail, Kuantan pada 10 Januari 2017 sebagai persetujuan membeli bahan mineral itu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Wazir berkata, pada Mac 2017, Mr Ting mempunyai masalah peribadi dan telah menghilang diri dan sehingga kini gagal dihubungi.

Katanya, susulan itu mangsa mengambil alih tanggungjawab untuk berurusan dengan suspek dalam urusan pembelian permit bauksit.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, suspek kemudian telah meminta mangsa membayar yuran guaman sebanyak RM10,000 bagi tujuan pengeluaran permit.

"Pada 10 April 2017, jam 2 petang, mangsa telah menyerahkan wang tunai seperti yang diminta di sebuah restoran di Indera Mahkota di sini.

"Empat hari kemudian, mangsa sekali lagi diminta membuat pembayaran sebanyak RM3,000 untuk memperbaharui permit eksport," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, pada 18 Mei 2017, suspek meminta mangsa membayar RM3,000 untuk memperbaharui permit eksport dan wang itu diserahkan secara tunai pada hari sama.

Beliau menambah, sebulan selepas itu, suspek meminta mangsa membayar RM20,000 lagi atas alasan bayaran royalti bauksit.

"Mangsa kemudian telah menyerahkan wang secara tunai dan mengeluarkan resit.S uspek kemudian meminta menubuhkan syarikat baharu kerana salah seorang rakan kongsinya iaitu Mr Ting telah menghilangkan diri.

"Mangsa mengikuti nasihat suspek dan menubuhkan sebuah syarikat baharu bagi tujuan mendapat permit eksport berkenaan," katanya.

Menurutnya, selepas menubuhkan syarikat baharu, suspek meminta mangsa membayar RM6,000 untuk mempembaharui permit eksport.

Jelasnya, mangsa tanpa berfikir panjang menyerahkan wang secara tunai dan mengeluarkan resit atas nama suspek.

"Selepas semua pembayaran dibuat hingga kini, mangsa tidak memperoleh sebarang permit eksport bauksit daripada suspek.

"Mangsa berasa tertipu hingga menyebabkan mengalami kerugian dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.