Peranan GLC, GLIC perlu dinilai semula: Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran untuk menilai semula peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi mengoptimumkan aset-aset kerajaan demi pemulihan ekonomi negara.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassi berkata, GLC sepatutnya tidak bersaing dengan sektor swasta demi mengukuhkan keusahawanan negara.

“Peranan GLC dan GLIC perlu dinilai semula agar aset-aset kerajaan yang ada dapat dioptimumkan untuk membantu mengukuhkan infrastruktur negara bagi memantapkan proses pemulihan ekonomi dan pertumbuhan ekonomi selanjutnya.

“GLC diminta supaya tidak bersaing dengan sektor swasta demi mengukuhkan keusahawanan negara kita.

"Mereka seharusnya melabur dalam bidang yang berimpak tinggi termasuk meneroka pasaran baharu dalam dan luar negara," katanya ketika sesi perbahasan RMK12 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan memperkukuhkan sektor-sektor ekonomi yang memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kerajaan juga perlu menyediakan ekosistem yang kondusif bagi merancakkan pemulihan Malaysia dan menjadikan negara sebagai destinasi mesra perniagaan dan pelaburan, yang mempunyai teknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah atau value-added yang lebih besar,” katanya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, tumpuan juga perlu diberikan dalam penyediaan peluang pekerjaan meliputi pelbagai sektor moden seperti perkilangan dan perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia memastikan pembangunan bakat dan modal insan memenuhi keperluan pembangunan sosioekonomi, di samping meneroka potensi pekerjaan baharu terutama melibatkan ekonomi gig dan yang berteraskan Era Teknologi Digital.

“Kerajaan perlu meneruskan tindakan proaktif di bawah Majlis Pekerjaan Negara untuk mencapai sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan pada tahun ini.

“Setakat ini, 376,000 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan di bawah inisiatif kerajaan. Pada permulaan pelaksanaan RMK12 ini, usaha mengenal pasti secara agresif golongan yang menganggur akibat pandemik Covid-19 perlu diberikan keutamaan,” katanya.