JPJ NS keluar 222 saman dalam Ops Khas Motosikal

Hanif Yusabra Yusuf
Hanif Yusabra Yusuf
A
A
A

PORT DICKSON - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengeluarkan 222 saman kepada pengguna jalan raya menerusi Operasi Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson, di sini, pada Ahad.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, lebih separuh daripada saman yang dikeluarkan dalam operasi yang bermula jam 3 petang itu adalah bagi kesalahan tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

"Tiada lesen memandu kompeten (CDL), kenderaan barangan (GDL) dan lain-lain merekodkan 75 kesalahan, manakala tiada lesen memandu serta cukai jalan 71 saman. Selain itu 46 notis dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan teknikal seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, ubah suai ekzos, cermin gelap dan tayar haus," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, operasi selama tiga jam itu melibatkan pemeriksaan terhadap 666 kenderaan membabitkan 323 motosikal, kereta (256), kenderaan barangan (35), kenderaan perkhidmatan awam (15) dan lain-lain kenderaan (37).

Menurutnya, operasi khas berkenaan merupakan usaha berterusan JPJ dalam memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya, selain dapat mengurangkan kadar kemalangan dan kematian khususnya melibatkan motosikal. - Bernama

Artikel Berkaitan: