Skuad hoki ais negara tempuhi cabaran berliku

Bukan sahaja pasukan tersebut dijangkiti Covid-19, penularan virus itu turut menjejaskan persediaan mereka dalam menghadapi aksi di negara Asia Tengah itu.
Bukan sahaja pasukan tersebut dijangkiti Covid-19, penularan virus itu turut menjejaskan persediaan mereka dalam menghadapi aksi di negara Asia Tengah itu.
A
A
A

PASUKAN hoki ais lelaki negara berdepan pelbagai cabaran menjelang penampilan sulung skuad itu pada Kejuaraan Dunia Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa (IIHF) 2022 Bahagian IV di Bishek, Kyrgyzstan, dari 3 hingga 9 Mac ini.

Bukan sahaja pasukan tersebut dijangkiti Covid-19, penularan virus itu turut menjejaskan persediaan mereka dalam menghadapi aksi di negara Asia Tengah itu.

Selain ketua jurulatih Gary Tan yang baru saja dilantik untuk mengendalikan skuad itu tiga minggu lepas, lima daripada 20 pemain turut didapati positif Covid-19.

"Saya tidak mempunyai banyak masa untuk mengenali anak buah saya secara bersemuka kerana saya didapati positif Covid-19 seminggu lebih selepas dilantik pada 6 Februari.

"Apa yang dapat saya lakukan ketika tempoh kuarantin adalah melatih mereka secara dalam talian, berbanding latihan secara bersemuka di gelanggang ais... nasib baik mereka yang positif berada dalam keadaan baik dan boleh mewakili negara di Kyrgyzstan,” Gary memberitahu ketika dihubungi.

Namun, ujian yang dihadapi mereka tidak berhenti setakat itu.

Selepas kejohanan itu, yang sepatutnya diadakan pada 2020, ditunda ke tahun ini, jurulatih berusia 43 tahun itu berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa sebelum ini telah membataskan persediaan skuad berkenaan.

"Pemain kita kembali menjalani latihan September lepas, sedangkan pasukan lain telah bersiap sedia sebaiknya untuk pertandingan itu.. sebahagian mereka tidak mengikuti ‘lockdown’ dan berlatih secara konsisten seperti biasa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, bekas ketua jurulatih Indonesia itu berkata penutupan pusat latihan mereka sebelum ini di Stadium Luncur Ais Kebangsaan (MYNISS) di Empire City Damansara ekoran PKP, iaitu satu-satunya gelanggang ais bersaiz Olimpik di negara ini, memburukkan lagi situasi.

Walaupun kejohanan di Kyrgyzstan akan menggunakan gelanggang ais bersaiz Olimpik, Gary berkata mereka tiada pilihan melainkan untuk terus berlatih di atas gelanggang yang lebih kecil di Sunway Pyramid dan IOI City Mall.

Meskipun pelbagai aral yang menimpa, bekas atlet kebangsaan itu berkata anak buahnya masih bersemangat untuk memberikan yang terbaik dan membanggakan negara pada kejohanan itu.

"Persediaan berjalan dalam suasana yang sukar tetapi pujian harus diberi kepada pemain kerana mereka bekerja keras dalam latihan, sama ada secara dalam talian atau bersemuka,” katanya.

Ditanya tentang sasarannya, Gary berkata beliau akan sangat gembira jika pasukannya dapat meraih satu atau dua kemenangan dalam kejohanan berformat liga itu.

Bukan itu sahaja, Gary berkata beliau akan memastikan Malaysia memberi tentangan sengit kepada lawan mereka dalam pertandingan di Gorodskoi Katok itu.

Pasukan negara, yang akan berlepas ke Kyrgyzstan esok (1 Mac), bakal memulakan kempen dengan menentang Kuwait pada 3 Mac, diikuti tuan rumah (5 Mac), Iran (7 Mac) dan Singapura pada 8 Mac. - Bernama