Ops Khas Motosikal: JPJ Pahang keluar 173 saman, 24 notis

Pegawai penguat kuasa JPJ Pahang membuat pemeriksaan terhadap penunggang motosikal dalam Ops Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina di Jalan Teluk Sisek, pada malam Ahad.
Pegawai penguat kuasa JPJ Pahang membuat pemeriksaan terhadap penunggang motosikal dalam Ops Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina di Jalan Teluk Sisek, pada malam Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 199 notis termasuk 173 saman atas pelbagai kesalahan dalam Ops Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina di Jalan Teluk Sisek di Kuantan, pada malam Ahad.

Turut dikeluarkan lapan notis larangan penggunaan kenderaan (PG1) dan 16 notis arah periksa kepada pemilik kenderaan.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, kesalahan utama dikesan melibatkan tiada lesen memandu dengan 64 saman manakala cukai jalan tamat tempoh sejumlah 50 saman dikeluarkan.

Dalam operasi selama lima jam bermula dari jam 8 malam hingga 1 pagi itu, 24 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan teknikal.

"Dalam operasi itu JPJ Pahang turut menyita sebuah kereta dan motosikal atas kesalahan cukai jalan dan pelindungan insurans tamat tempoh lebih tiga tahun.

"Kesalahan dikesan itu hasil pemeriksaan ke atas 597 kenderaan termasuk 350 motosikal dan 247 kereta sepanjang operasi yang turut melibatkan beberapa agensi seperti polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar (JAS)," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Kamarul Iskandar berkata, sehingga Sabtu, sebanyak 1,457 kenderaan diperiksa dalam Ops Tahun Baharu Cina yang diadakan di seluruh negeri dengan 263 diambil tindakan.

"Sebanyak 359 saman dan 228 lain-lain notis dikeluarkan dalam tempoh itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau berkata, dalam operasi malam tadi (Ahad), pihak polis turut mengeluarkan 80 saman terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

"AADK melakukan pemeriksaan ke atas 24 individu dan dua individu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh dadah.

" Jabatan Imigresen pula menahan dua warga asing atas kesalahan dokumen perjalanan," katanya.