Cemas kapal persiaran hampir karam

Empat kru sebuah kapal persiaran berdepan detik cemas apabila kapal yang dinaiki hampir karam selepas terlanggar satu objek pada kedudukan 0.3 batu nautika selatan Pulau Lalang, Langkawi pada Sabtu.
Empat kru sebuah kapal persiaran berdepan detik cemas apabila kapal yang dinaiki hampir karam selepas terlanggar satu objek pada kedudukan 0.3 batu nautika selatan Pulau Lalang, Langkawi pada Sabtu.
A
A
A

LANGKAWI - Empat kru sebuah kapal persiaran berdepan detik cemas apabila kapal yang dinaiki hampir karam selepas terlanggar satu objek pada kedudukan 0.3 batu nautika selatan Pulau Lalang, Langkawi pada Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.30 malam itu dilaporkan kepada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi yang segera mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, kapal maritim KM Tenggol pergi ke lokasi bagi menyelamat mangsa kapal persiaran terbabit.

"Maklumat mengenai kejadian berkenaan turut disalurkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM)," katanya menerusi suatu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, kapten kapal iaitu Nor Azman Saparin, 42, bersama kru kapal yang lain berusia lingkungan 29 hingga 54 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kapal terbabit juga ditunda ke Boustead Shipyard untuk tindakan lanjut," katanya.

Mohd Zawawi berkata, beliau turut mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

"Selain itu, maklumkan destinasi anda kepada ahli keluarga dan membawa bekalan makanan secukupnya serta mengelakkan aktiviti di luar kawasan liputan telekomunikasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Zawawi, Maritim Malaysia juga akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Zon Maritim Malaysia.

"Orang ramai juga diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah & Perlis di talian 04-9662750 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.