50 tahun KADA utuh bersama petani

Agensi yang berusaha meningkatkan taraf hidup dan kedudukan sosio ekonomi lebih 7,700 golongan petani

A
A
A

Pengerusi KADA, Datuk Kamarudin Md Nor (tengah) ditemani Nik Roslan (kanan) melawat ke kawasan sawah padi di kawasan seliaan KADA.
Pengerusi KADA, Datuk Kamarudin Md Nor (tengah) ditemani Nik Roslan (kanan) melawat ke kawasan sawah padi di kawasan seliaan KADA.

KOTA BHARU - Meniti usia 50 tahun kewujudan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memahat sejarah penting dalam industri pengeluaran padi negara.

Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris berkata, bertitik tolak kepada usaha meningkatkan taraf hidup dan kedudukan sosio ekonomi lebih 7,700 golongan petani mendorong KADA komited memperjuangkan kemajuan sosial dan ekonomi kumpulan itu terutama di enam jajahan seliaan KADA di Kelantan.

“Walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran, KADA sejak penubuhannya pada 30 Mac 1972 berusaha keras meningkatkan pendapatan golongan petani khususnya dan usahawan industri asas makanan.

“KADA juga berfungsi menjaga kesejahteraan masyarakat tani di kawasan seliaan KADA sekali gus memperkembang dan memajukan sektor penanaman padi negara secara keseluruhannya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pejabat KADA di Lundang, di sini pada Rabu.

NIK ROSLAN
NIK ROSLAN

Artikel Berkaitan:

Beliau dan seluruh warga KADA juga berpegang teguh pada misi dan visi penubuhan KADA dalam membantu golongan sasar di negeri ini.

“KADA ditubuhkan bertujuan merancang dan mengusahakan kawasan KADA dengan pelbagai kemajuan pertanian dalam usaha meningkatkan taraf sosio ekonomi petani serta peningkatan pengeluaran makanan negara terutama di dalam pengeluaran padi dan beras bagi menampung keperluan beras negara.

“KADA turut menjadi pengeluar bahan makanan lain selain padi bagi memenuhi permintaan dan menampung keperluan makanan negara di samping membangunkan industri tempatan menerusi pelbagai bidang di keseluruhan rantaian perikanan seperti agro pelancongan, akuakultur, pemprosesan, aktiviti perdagangan serta industri hiliran,” katanya,

4.Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Kamarudin Md Nor (tengah) ditemani Nik Roslan Idris (kanan) melawat ke kawasan sawah padi di kawasan seliaan KADA.
4.Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Kamarudin Md Nor (tengah) ditemani Nik Roslan Idris (kanan) melawat ke kawasan sawah padi di kawasan seliaan KADA.

Menurutnya, sebagai sebuah agensi kerajaan, KADA turut berfungsi untuk membangunkan dan memperteguhkan institusi peladang bagi menaungi keluarga tani selain berusaha meningkatkan pendapatan perkapita.

“Sebagai agensi peneraju dalam bidang agro makanan, KADA terus berusaha melahirkan golongan sasar yang berpendapatan tinggi dengan terus menyediakan dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti, efisien, berteknologi dan berintergriti serta meneroka pasaran dalam dan luar negara dalam membantu meningkatkan pendapatan petani di kawasan seliaan KADA.

“Usaha yang mapan menjadikan KADA sebagai badan utama dalam pengeluaran agro makanan di samping dapat meningkatkan keupayaan petani dan usahawan tani agar lebih berdaya saing dan inovatif,” katanya.

Berkongsi cabaran masa kini yang dihadapi KADA, katanya, adalah masalah bekalan air yang berlaku disebabkan Kelantan tidak mempunyai empangan berbanding kawasan penanaman padi yang lain.

“Kawasan KADA hanya mengharapkan sumber air semulajadi iaitu Sungai Kelantan manakala tiba musim kemarau akan memberikan kesan yang teruk kepada petani.

“Masalah lain ialah kehilangan kawasan tanaman disebabkan beberapa faktor seperti penukaran status kawasan tanah pertanian kepada komersial dan pembinaan kediaman.

“Walau bagaimanapun, KADA tetap berusaha membantu golongan sasar sebaik mungkin dengan melakukan pelbagai inisiatif seperti pengagihan pam mudah alih dan pembinaan telaga tiub kepada lebih 7,700 petani di kawasan seliaan KADA dengan jumlah kawasan tanaman padi berjumlah 26,833 hektar berbanding 10,000 hektar pada awal penubuhan KADA,” katanya.

Rumah Pam Kemubu Utama yang membekalkan air ke Rancangan Pengairan Kemubu (RPK) di bawah kuasa pengendalian KADA.
Rumah Pam Kemubu Utama yang membekalkan air ke Rancangan Pengairan Kemubu (RPK) di bawah kuasa pengendalian KADA.

Beliau berkata, selari hasrat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi menjadikan sektor pertanian dan industri makanan sebagai penyumbang utama ekonomi negara, pelbagai program dan pendekatan baharu akan dirangka bagi meningkatkan pengeluaran serta memastikan bekalan padi mencukupi dan menepati piawaian.

“KADA akan terus membangunkan dan memberi tumpuan penuh kepada sektor penanaman padi di samping mengalu-alukan usaha transformasi dalam sektor ini bagi memastikan pembangunan sektor tanaman padi yang berterusan selaras dengan hasrat untuk menjayakan agenda Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) serta Pelan Tindakan Sekuriti Makanan Negara.

“KADA seterusnya memberikan bimbingan kepada hampir 2,000 usahawan dalam pelbagai bidang industri asas makanan dan komited dalam memastikan segala aspek keperluan petani dan usahawan bimbingan KADA dipenuhi,” katanya.

INFO

Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (kanan) berucap ketika perasmian penubuhan KADA pada 2 Mac 1973.
Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (kanan) berucap ketika perasmian penubuhan KADA pada 2 Mac 1973.

- Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) ditubuhkan pada 30 Mac 1972 melalui Akta 69 Akta Lembaga Pertanian Kemubu 1972 dengan dirasmikan oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 2 Mac 1973.

- Setelah KADA diwujudkan, Kerajaan Negeri Kelantan pula menyusuli tindakan dengan meluluskan Enakmen Pihak Berkuasa Kemajuan Pertanian Kemubu 1972 (Enakmen nombor 2 Tahun 1972 Kelantan) yang membolehkan Menteri Pertanian dan Perikanan melaksanakan Akta Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu 1972 mulai 1 Ogos 1972.

- Nama Kampung Kemubu terletak di tebing Sungai Kelantan iaitu 30 kilometer dari Kota Bharu diabadikan dalam lipatan sejarah KADA.

- Di situlah terbina sebuah rumah pam membekalkan air ke Rancangan Pengairan Kemubu (RPK) iaitu rancangan terbesar dalam gugusan rancangan-rancangan pengairan lain yang dipersatukan di bawah kuasa pengendalian KADA.