Arsenal miliki kualiti cabar gergasi EPL

Mikel Arteta - Foto AFP
Mikel Arteta - Foto AFP
A
A
A

ARSENAL memiliki kualiti mencabar pasukan kelompok teratas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan biarpun The Gunners belum dapat memastikan kedudukan pengakhiran kali ini sehingga selesai perlawanan terakhir liga pada Ahad.

Malah pengendali Arsenal, Mikel Arteta menegaskan kelab London itu belum mengalah untuk meraih kedudukan kelompok empat terbaik musim ini yang menjamin slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

Jelas Arteta lagi, prestasi Arsenal pada saingan musim ini masih boleh disifatkan pencapaian membanggakan untuk skuad Gunners muda selepas berjaya memadamkan igauan ngeri mengakhiri saingan di kedudukan kelapan liga musim lalu.

“Ya, ia adalah satu perjalanan yang panjang dan sangat mencabar musim ini, namun kami telah melangkah jauh sebagai sebuah kelab.

“Sebagai sebuah pasukan kami telah mengubah tenaga, semangat dan jangkaan kelab ini sekali lagi dan kami telah melakukannya bersama-sama.

“Saya mempunyai harapan dan jangkaan untuk membawa Arsenal ke tempat yang sepatutnya seperti pada era kegemilangan sebelum ini.

“Sejujurnya kami kembali ke Eropah, cumanya kami tidak tahu di mana dan ia akan diputuskan (Ahad). Semoga ia akan menjadi Liga Juara-Juara kerana saya percaya kami akan melakukan apa yang perlu lakukan,” ujarnya.

Kekalahan berturut-turut kepada Tottenham dan Newcastle United menyebabkan The Gunners memerlukan bantuan Norwich City yang sudah tersingkir ke Liga Kejuaraan untuk menewaskan angkatan Antonio Conte sekali gus memberikan kelab London itu peluang menduduki tempat keempat teratas.

Untuk rekod, satu mata Spurs di Carrow Road akan memastikan kelab kendalian Conte mendapat slot Liga Juara-Juara, namun sekiranya tewas dan Arsenal menewaskan Everton, angkatan Arteta akan mengatasi pesaing utara London mereka itu.