Rang undang-undang kecekapan dan konservasi tenaga dibentang tahun depan

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan membentangkan rang undang-undang berkaitan kecekapan dan konservasi tenaga pada persidangan Dewan Rakyat tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penggubalan rang undang-undang itu akan membolehkan pengurusan permintaan tenaga termasuk tenaga termal diselaraskan secara komprehensif dan dikawal selia dengan lebih berkesan oleh Suruhanjaya Tenaga.

Katanya, KeTSA sedang dalam peringkat penyediaan draf rang undang-undang berkenaan yang akan memperkukuhkan kerangka perundangan berkaitan kecekapan dan konservasi tenaga bagi memastikan keterlibatan secara menyeluruh di pelbagai peringkat institusi dan organisasi.

“Berdasarkan analisis oleh Suruhanjaya Tenaga, pelaksanaan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga kelak akan berupaya menjimatkan penggunaan tenaga sebanyak 1,447 juta giga joule atau 258.4 juta tan pelepasan karbon dioksida.

“Ini bersamaan dengan penjimatan RM71.24 bilion bagi tempoh 16 tahun,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Kecekapan Tenaga 2021 anjuran Suruhanjaya Tenaga di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pelaksanaan akta itu akan dapat mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan bagi jawatan pengurus tenaga berdaftar, juruaudit tenaga berdaftar dan pelatih untuk institusi latihan.

“Selain penguatkuasaan undang-undang, saya yakin kesedaran dan penghayatan orang awam tentang kecekapan tenaga amat penting dalam memastikan negara kita mencapai sasaran dan komitmen untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, setakat Oktober tahun ini, kerajaan berjaya menjimatkan penggunaan elektrik terkumpul sebanyak 4.3 peratus melalui inisiatif Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara (NEEAP) berbanding sasaran awal 3.9 peratus bagi tahun 2021.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan sebelum ini menetapkan sasaran pengurangan lapan peratus penggunaan elektrik menjelang 2025, bersamaan dengan 52,223 giga watt jam untuk tempoh 10 tahun menerusi inisiatif tersebut.

Takiyuddin turut memuji inisiatif Suruhanjaya Tenaga yang komited membudayakan kehidupan cekap tenaga dalam kalangan generasi muda, khususnya pelajar sekolah menerusi penganjuran pertandingan itu yang kini telah memasuki tahun ketujuh.

Program dan inisiatif kecekapan tenaga seumpama ini perlu diberi keutamaan dalam menyokong dasar dan aspirasi pembangunan negara, katanya. - Bernama