Liverpool pintas City di puncak liga

Keita (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukannya di St James Park sebentar tadi.
Keita (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukannya di St James Park sebentar tadi.
A
A
A

LIVERPOOL kembali merampas status pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada Manchester City selepas menewaskan Newcastle United 1-0 di St James Park sebentar tadi.

Pemain tengah, Naby Keita muncul wira apabila meledak gol tunggal The Reds selepas menyudahkan hantaran Diogo Jota pada minit ke-19.

Kejayaan meraih tiga mata berharga itu menyaksikan Liverpool berjaya mengumpul 82 mata, dua mata meninggalkan City yang akan menentang Leeds United di Elland Road tengah malam ini.

Bagaimanapun, skuad The Citizens itu akan kembali merampas kedudukan selaku pendahulu sekiranya berjaya mengalah Leeds.

Liverpool dilihat berada di landasan terbaik dalam pemburuan menyambar empat kejuaraan musim ini selepas menjuarai Piala Liga pada Februari lalu.

Selain bersaing hebat dengan City dalam memburu trofi EPL, The Reds turut masih dalam persaingan di pentas Liga Juara-Juara dan Piala FA.

Liverpool dijadualkan membuat perhitungan dengan Chelsea dalam aksi final Piala FA di Stadium Wembley pada 14 Mei ini.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu akan berdepan Villarreal dalam aksi timbal balik di El Madrigal pada 4 Mei ini selepas meraih kemenangan 2-0 dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Anfield Khamis lalu.