Polis, sekolah perlu ganding bahu pantau kes buli

Penguat kuasa seperti polis dan pihak sekolah perlu berganding bahu untuk mengatasi kes buli dalam kalangan pelajar dengan usaha pencegahan serta pemantauan harus dilakukan lebih serius. Gambar kecil: Zalmizy
Penguat kuasa seperti polis dan pihak sekolah perlu berganding bahu untuk mengatasi kes buli dalam kalangan pelajar dengan usaha pencegahan serta pemantauan harus dilakukan lebih serius. Gambar kecil: Zalmizy
A
A
A

SHAH ALAM - Penguat kuasa seperti polis dan pihak sekolah perlu berganding bahu untuk mengatasi kes buli dalam kalangan pelajar dengan usaha pencegahan serta pemantauan harus dilakukan lebih serius.

Pakar Kriminologi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Zalmizy Hussin berkata, kedua-dua pihak berkenaan perlu berada dalam keadaan siap siaga untuk memerangi jenayah buli di institusi pendidikan.

Menurutnya, budaya kesiapsiagaan dalam kalangan penguat kuasa dan sekolah perlu melibatkan kerjasama bersepadu semua agensi kerajaan bermula dari peringkat pusat, negeri dan daerah.

“Ia juga mesti membabitkan peranan pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk individu perseorangan seperti ibu bapa dalam usaha memerangi, mencegah dan membuat pemantauan dengan lebih serius.

“Peranan sekolah perlu lebih kesiapsiagaan dalam memerangi jenayah yang bermula dari rumah dan menjadi tanggungjawab setiap guru di sekolah yang mengajar, memantau pelajar dengan lebih dekat.

“Pencegahan dan pemantauan boleh dilaksanakan dengan kedua-dua pihak berbincang secara kerap bagi mengenal pasti masalah disiplin dan melihat rekod kesalahan pelajar untuk diambil tindakan seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Zalmizy berkata, kebanyakan pihak sekolah tidak mahu nama mereka tercemar disebabkan oleh masalah disiplin.

Menurutnya, terdapat juga guru yang tidak melaporkan atau cuba merahsiakan perbuatan buli daripada pengetahuan pihak berkuasa.

“Jadi, kalau tidak ada kerjasama erat antara guru dan polis, kita tidak akan dapat mengatasi masalah buli dengan lebih berjaya,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai cadangan menempatkan anggota dan pegawai polis secara lebih kerap di sekolah menerusi program Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), jelasnya, PPS yang dilantik disarankan untuk melaksanakan rondaan berjadual, dua minggu sekali ke sekolah yang dijaga.

“Saya rasa cadangan ini (menempatkan polis di sekolah) sangat bagus, cuma pegawai yang dilantik perlulah melakukan rondaan ataupun lawatan berjadual secara kerap, maksudnya kalau sebelum ini sebulan sekali, sekarang mungkin dua minggu sekali,” ujar beliau.