PM rakam penghargaan kepada UEA atas sumbangan untuk anggota ATM

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menghulurkan sumbangan kepada lebih 700 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terjejas akibat banjir.

Menerusi catatan di Facebook rasmi pada Khamis, beliau berkata, anggota tentera yang terjejas menerima sumbangan barangan keperluan asas dan makanan yang disampaikan Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith kepada ATM yang diwakili Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana sentiasa menjaga hubungan baik antara UAE dan Malaysia. Walaupun negaranya jauh, tetapi kebaikannya terasa akrab,” katanya.

Ismail Sabri berkata, sumbangan berkenaan akan diagihkan bermula hujung minggu ini kepada keluarga ATM yang terjejas banjir terutamanya di Selangor dan Pahang.

“Syabas kepada ATM dan Bakat (Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera) yang akan mengatur gerak sumbangan ini,” katanya.

Majlis penyampaian bantuan mangsa banjir daripada Kerajaan UAE kepada ATM berlangsung di Wisma Perwira pada Khamis dan turut dihadiri Affendi dan Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat, Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah. - Bernama

Artikel Berkaitan: