Bekas menteri kanan, tokoh perniagaan bergelar Tan Sri seleweng dana RM2.3 bilion disiasat - Utusan Malaysia

Bekas menteri kanan, tokoh perniagaan bergelar Tan Sri seleweng dana RM2.3 bilion disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa kertas siasatan telah dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas seorang tokoh perniagaan bergelar Tan Sri dan seorang bekas menteri kanan berhubung penyelewengan dana negara yang bernilai lebih RM2.3 bilion.

Kertas siasatan itu dibuka di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, siasatan itu adalah kesinambungan dan tambahan daripada pendedahan dokumen-dokumen sulit yang dibuat oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi-transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Kata beliau, tumpuan siasatan adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan itu.

“Difahamkan juga transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan mata wang ringgit pada hujung 1990-an dan telah diseleweng untuk kepentingan individu-individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk,” kata sumber itu.

Mengulas lanjut, sumber berkata, penyiasatan juga bertumpu kepada transaksi-transaksi daripada hasil penjualan saham syarikat tersenarai tersebut.

Dalam pada itu, kata sumber, siasatan itu juga meliputi pemilikan aset-aset berharga yang telah dikenal pasti oleh SPRM yang dimiliki oleh ahli perniagaan dan bekas menteri kanan serta ahli keluarga mereka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit yang berada di dalam dan di luar negara.

Tambah sumber, SPRM juga telah merakam keterangan kira-kira 14 saksi dalam tempoh beberapa minggu lalu berhubung penyiasatan ini termasuk keterangan daripada tokoh perniagaan dan bekas menteri kanan tersebut berkaitan dengan dokumen-dokumen sulit yang didedahkan oleh Pandora Papers.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Kata Azam, siasatan tertumpu kepada Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapat suapan dan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya