[VIDEO] Da'i Syed bebas pertuduhan seks luar tabii, cabul penuntut kolej

Syed Shah Iqmal hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Selasa bagi menghadapi dua pertuduhan kes seksual, dua tahun lalu.
Syed Shah Iqmal hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Selasa bagi menghadapi dua pertuduhan kes seksual, dua tahun lalu.
A
A
A

PETALING JAYA - Pendakwah selebriti, Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful dilepas dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan kes bersetubuh secara luar tabii serta mencabul seorang penuntut kolej swasta berusia 22 tahun, dua tahun lalu.

Hakim Jamaludin Mat membuat keputusan itu selepas bersetuju dengan hujahan peguam Syed Amirul Syed Edros supaya kes berkenaan diberi perintah DNA.

"Saya bersetuju dengan hujahan peguam kes ini DNA. Tertuduh dilepas dan dibebaskan mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah bagi kedua-dua kes, wang jaminan (RM25,000) dikembalikan," katanya.

Ketika prosiding ditetapkan untuk sebutan kes, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim memaklumkan bahawa, pihak pendakwaan memohon agar kes itu diberi perintah lepas tanpa bebas (DNAA).

Menurutnya, perintah itu dibuat mengikut peruntukan Seksyen 254(2) Kanun Tatacara Jenayah.

"Setelah mempertimbangkan keseluruhan kes, pihak pendakwaan memohon supaya kes ini diberi perintah DNAA memandangkan pengadu mengalami masalah kemurungan yang serius.

"Ekoran kejadian yang menimpa, pengadu beberapa kali mencederakan diri sendiri dan mempunyai keinginan untuk mati," katanya.

Norhashimah berkata, permohonan DNAA pada tahap ini atas alasan kondisi kesihatan pengadu yang mengalami masalah kemurungan merupakan alasan yang baik dan munasabah.

Menurutnya, perintah DNAA tidak akan memprejudiskan tertuduh selagi tidak dibuktikan bersalah, tidak perlu rasa terbeban malah dia dilepas dengan ikat jamin oleh mahkamah sebelum ini.

Beliau berkata, pertuduhan masih boleh diteruskan oleh pihak pendakwaan meskipun terdapat laporan tarik balik aduan oleh pengadu.

Bagaimanapun Syed Amirul yang mewakili Syed Shah Iqmal membantah permohonan pendakwaan supaya kes berkenaan diberi perintah DNAA sebaliknya DNA.

Jika perintah DNAA diberi, peguam itu berkata, ia membawa maksud Syed Shah Iqmal boleh dituduh bila-bila masa dan akan terus dihantui sebagai pesalah seks.

Beliau berhujah, alasan bahawa pengadu mengalami kemurungan dan berada dalam keadaan tidak baik untuk memberi keterangan merupakan suatu alasan yang goyah.

Menurutnya, wajar untuk berasa simpati namun mahkamah telah menetapkan 13 kali tarikh termasuk sebutan kes, namun pengadu yang juga mangsa sendiri telah menarik balik laporan pada Disember tahun lalu.

"Ini menunjukkan pengadu tidak berminat untuk meneruskan kes ini.

"Laporan polis yang menjadi asas telah ditarik balik oleh pengadu dalam keadaan sukarela, tanpa paksaan atau wujudnya elemen habuan," katanya.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal, 27, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita berumur 22 tahun di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana di sini, antara jam 3 hingga 4 pagi, 17 Oktober 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pada tarikh sama di Mahkamah Majistret di sini, Syed Shah Iqmal turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya, pada tarikh dan lokasi sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pada 19 Mac 2021, Mahkamah Majistret membenarkan dua kes yang dihadapi Syed Shah Iqmal dipindahkan ke Mahkamah Sesyen, untuk dibicarakan bersama.