UMNO perlu selesai krisis dalaman

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO kini dilihat berdepan dengan krisis dalaman parti susulan pendedahan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang turut membongkar kepincangan pimpinan presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, pendedahan tersebut jelas melambangkan Ahmad Zahid sebenarnya tidak layak memimpin parti ekoran tiada prinsip perjuangan dalam memacu UMNO ke arah lebih baik.

“Tajuddin membongkarkan kecurangan politik Ahmad Zahid, sekali gus memberi kelebihan kepada akar umbi untuk meneliti secara terbuka bahawa parti itu kini sedang dipimpin oleh orang yang tidak mampu untuk mentadbir kerana tiada pendirian.

“Melihat kepada kes-kes mahkamah yang masih membebani beliau (Ahmad Zahid) maka adalah wajar untuk berundur daripada parti secara terhormat bagi memastikan UMNO dipimpin oleh pemimpin baharu, mampu meletakkan parti di hadapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang,” katanya.

Isnin lalu Tajuddin mengadakan sidang akhbar sebagai respons terhadap pemecatan beliau sebagai ahli MKT seperti yang diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Jumaat lalu.

Mengulas lanjut Mohammad Tawfiq berpandangan, kepimpinan UMNO kini perlu memikirkan cara untuk memulihkan parti sebelum PRU15 untuk memastikan parti itu kembali sebagai kuasa dominan dalam kerajaan.

Dr Mohammad Tawfik Yaakub
Dr Mohammad Tawfik Yaakub

“Ketika ini jelas ada dua kumpulan besar dalam UMNO iaitu (kumpulan) Putrajaya dan Kumpulan 15 yang diketuai oleh Ahmad Zahid,” katanya.

Sementara itu penganalisis politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpandangan, pendedahan Tajuddin pada sidang akhbar berkenaan merupakan tindakan tidak puas hati ahli Parlimen Pasir Salak itu ekoran digugurkan dari MKT.

Awang Azman berkata, perkara yang dibangkitkan Tajuddin merupakan isu lama yang mana ketika itu sokongan terhadap Anwar untuk jadi Perdana Menteri bagi mengelakkan UMNO dibubarkan.

“Perkara ini diakui oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semalam (Isnin) bahawa mereka buat begitu (sokong) untuk kepentingan parti dan memastikan UMNO tidak dibubar oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Maka dengan tindakan taktikal tersebut UMNO tidak terbubar, namun kita tahu Anwar tidak jadi Perdana Menteri. Jadi ini kejayaan siapa sebenarnya? Anwar atau Ahmad Zahid?” ujarnya.

Dalam pada itu, penganalisis sosio politik, Datuk M Periasamy berpendapat, kelemahan serta pergolakan dalaman parti tidak sewajarnya didedahkan secara terbuka kerana akan membentuk persepsi politik berbeza dalam kalangan ahli parti dan rakyat.

“Situasi ini akan menjejaskan imej UMNO lebih-lebih lagi ketika parti sedang menyediakan jentera menghadapi PRU15 yang dianggap cukup mencabar.

“Namun saya yakin kepimpinan UMNO mampu atasi isu berkenaan agar tidak timbul perpecahan,” katanya.