AM

RAPID BUS LANCAR BUKTI KONSEP BAS PERANTARA LALUAN T789

12/05/2023 08:25 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan melancarkan perkhidmatan pembuktian konsep (POC) bas perantara on demand bagi laluan T789 iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti-Universiti Malaya melalui Pantai Hillpark yang mula beroperasi pada 15 Mei hingga 14 Ogos depan. 

POC merupakan kolaborasi antara Rapid Bus dan Asia Mobiliti Technologies Sdn Bhd, pemilik Trek Rides iaitu satu aplikasi tempahan perkhidmatan e-hailing tempatan di sekitar Lembah Klang. 

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij berkata pelaksanaan POC itu membolehkan bas bergerak mengikut permintaan sekali gus mengoptimumkan sumber yang ada.

"Bas yang ditetapkan untuk laluan itu juga boleh beroperasi di laluan lain yang mempunyai permintaan yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobiliti Technologies Sdn Bhd M. Ramachandran berkata perkhidmatan itu menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah melalui aplikasi Trek Rides. 

Beliau berkata dengan tambang RM1, penumpang boleh membayar menggunakan Pas Perjalanan Tanpa Had My50, Kad Touch ‘n Go, Kad Konsesi MyRapid, Pas Berkumpulan dan MyCity Pass untuk membayar tambang dengan mudah.

“Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Rapid Bus bagi memperkenalkan perkhidmatan ini kepada pengguna Rapid KL dan matlamat kami untuk menyediakan kemudahan serta perkhidmatan yang boleh dipercayai bagi memenuhi kehendak dan keperluan warga bandar,” katanya.

Bas perantara on-demand itu beroperasi setiap hari dari 6.30 pagi hingga 11.30 malam dan menawarkan masa perjalanan yang lebih singkat serta penumpang boleh merancang perjalanan dengan lebih efisien kerana mereka boleh memilih waktu tempahan dengan lebih mudah.

Untuk maklumat lanjut berkenaan POC Rapid KL x Trek Rides, penumpang boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web di www.myrapid.com.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan