Hidangan Turkiye ada kelainan, kelas tersendiri - Utusan Malaysia

Hidangan Turkiye ada kelainan, kelas tersendiri

FOTO: SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA pasti tidak ramai yang tahu pasal hidangan dari Turkiye. Kalau ada pun hanya beberapa kerat sahaja, itupun selepas berkunjung ke negara berkenaan. Malah publisiti dan tumpuan juga amat kurang diberikan terhadap makanan dari negara yang terkenal dengan empayar Uthmaniyah itu.
Bagaimanapun, kunjungan saya ke Turkish Istanbul Cafe yang terletak di kompleks Glo Damansara ini secara tidak langsung membuka mata saya sedikit sebanyak perbezaan antara makanan Turki dan Arab walaupun ada persamaan daripada segi rupa.
Sebagai contoh, hidangan pencuci mulut kunafe turut mempunyai keju di dalamnya dan tidak begitu manis serta mempunyai kerangupan tersendiri berbanding menu yang sama dari Asia Barat.
Harga untuk kunafe ini adalah RM14.90 dan boleh dinikmati untuk dua orang.
Bagaimanapun, pada saya adalah lebih baik menikmati hidangan lain terlebih dahulu daripada menu utama dan pembuka selera.
Ada terdapat pelbagai menu pilihan di sini, namun salah satu yang wajib dicuba semestinya mix platter kebab.
Terdapat lima jenis kebab dalam satu hidangan yang boleh dimakan antara tiga ke empat orang ini antaranya adana kebab, beef sis kebab, kofte, chicken thigh kebab dan grilled vegetables serta dihidangkan bersama nasi mandy.
Setiap kebab ini akan diperap selama beberapa jam dan ada sebahagiannya sehingga tiga hari bergantung kepada jenis daging.
Apa yang pasti, hidangan ini tidak terlalu kering sebagaimana kebab lain dan harga mix platter kebab ini adalah RM98.90.
Selain itu, ottoman kebab juga antara pilihan kebanyakan pelanggan tetap yang datang ke restoran ini.
Resepi istimewa Chef Eksekutif Deniz Alkoc ini akan dihidangkan bersama keju, sos tomato dan sos terung putih disamping roti.
Rasa kebab yang diselaputi keju ini agak berbeza daripada kebiasaan dan campuran sos tomato membuatkan anda seperti menikmati sos pasta.
Pada yang tidak mahukan hidangan berat boleh mencuba pide atau turkish pizza yang berharga antara RM29.90 sehingga RM35.90 bergantung kepada jenis.
Terdapat juga pelbagai salad di sini kepada yang mahu mengehadkan pengambilan kalori.
Antara jenis salad yang ada termasuklah halloumi cheese salad, feta cheese salad dan chicken salad.
Bagaimanapun, tidak lengkap kalau semua hidangan ini dimakan tanpa ada pembuka selera yang wajib dicuba iaitu mix appetizers.
Hidangan ini terdiri daripada beberapa jenis ‘pencicah’ seperti hummus, patlican sostu, spicy tomato meze, green beans dan eggplant dip serta dimakan bersama roti.
Menurut Deniz, walaupun hidangan dari Turkiye hampir sama dengan negara Asia Barat, tetapi bahan dan kaedah memasaknya sememangnya berbeza.
“Sebagai contoh kunafe dimasukkan keju apabila dimasak dengan cara Turkiye dan perlu dipastikan ia sentiasa segar, bukannya disimpan beberapa hari.
“Selain itu, untuk baklava pula, ia mempunyai lebih 40 lapisan dan perlu dimakan dalam tempoh tiga hari sahaja,” katanya.
Restoran yang dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam ini terletak di lot LG-08 Glo Damansara, 699, Jalan Damansara, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. –Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.