'Komen penduduk Pandan lebih utama berbanding Wan Saiful'

Wan Saiful (kiri) dan Rafizi
Wan Saiful (kiri) dan Rafizi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyifatkan kenyataan dibuat Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan tidak memberi kesan padanya.

Menurut Menteri Ekonomi itu, rakyat boleh membezakan watak-watak seperti Wan Saiful, yang sebelum ini membuat kenyataan bahawa beliau tidak kompeten dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai menteri.

“Dari segi bagaimana prestasi saya akan dihakimi oleh rakyat, itu juga adalah jelas. Saya tidak berniat atau mempunyai rancangan untuk membuat komen politik kepada orang politik yang membuat komen seperti Wan Saiful.

“Berbanding contohnya kalau komen daripada penduduk di Pandan dengan komen daripada Wan Saiful, saya lebih beri perhatian kepada komen penduduk di Pandan,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Kenduri Rakyat Parlimen Pandan pada Sabtu.

Wan Saiful sebelum ini dilapor mencadangkan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggantikan jawatan Menteri Ekonomi disandang Rafizi sekiranya Ahli Parlimen Pandan itu terus tidak kompeten dalam menjalankan tugas.

Ujar beliau, Johari jauh lebih berwibawa dan tidak kebudak-budakan sehingga membuat semua pihak ‘terduduk’ semata-mata sebab dendam politik.

Tambah Rafizi, sekiranya orang politik tidak berhati-hati terutama yang sebelum ini mempunyai peluang melakukan sesuatu tetapi gagal, mereka akan berhadapan dengan pandangan rakyat.

“Bagi saya, kerja saya sangat jelas. Saya ada soal kerangka ekonomi dan juga rancangan ekonomi yang perlu dilaksanakan dengan baik.

Artikel Berkaitan:

“Ada perkara yang saya akan bawa kepada rakyat secara berdepan, ada perkara yang saya kena susun perancangannya lebih panjang.

“Akhirnya saya serahkan pandangan itu kepada rakyat dan saya terima dengan terbuka,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya adakah PKR ada menerima surat jemputan untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung pada pertengahan Januari, Rafizi berkata, pihaknya masih belum mendapat apa-apa maklum balas dari ibu pejabat parti berkenaan perkara itu.

Jelasnya, sekiranya PKR menerima surat jemputan berkenaan, ia akan diputuskan secara bersama di peringkat parti.

“Kalau dapat jemputan prosesnya akan dibawa ke biro politik. Biro politik akan buat keputusan. Jadi saya tunggu kalau perkara itu telah dihantar secara rasmi,” katanya.