Dua nelayan gagal dihubungi ditemukan selamat

Bot nelayan tempatan kelas A ini dinaiki tekong dan seorang awak-awak rosak serta gagal dihubungi telah berjaya ditemukan selamat. - Foto Maritim Malaysia
Bot nelayan tempatan kelas A ini dinaiki tekong dan seorang awak-awak rosak serta gagal dihubungi telah berjaya ditemukan selamat. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

KEMAMAN – Sebuah bot nelayan tempatan kelas A yang rosak dan gagal dihubungi pada jarak kira-kira 14 batu nautika, timur perairan Kijal, Kemaman pada tengah malam Jumaat berjaya ditemukan selamat.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot dinaiki dua awak-awak termasuk seorang tekong berusia 30 dan 60 tahun dari Kampung Paya Berenjut itu ditemukan oleh nelayan setempat.

Menurutnya, pihaknya menerima aduan tentang kehilangan bot tersebut yang mengalami kerosakan pada kipas bebaling bot pada jam 8.15 pagi Sabtu dan mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat.

“Bot ini gagal dihubungi pada tengah malam 30 Disember, perbualan terakhir mangsa melalui telefon memaklumkan mengenai kerosakan yang dialami kepada ibunya pada jam 6 petang hari sama.

“Bertindak daripada laporan ini, bot ronda Kilat 27 telah digerakkan bagi mengesan kedudukan mangsa. Beberapa bot nelayan di bawah Persatuan Nelayan Kawasan Kijal dan Kuala Kemaman turut sama membantu,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Rashidilhadi berkata, Zon Maritim Kemaman kemudian menerima makluman dari Balai Polis Chukai mengenai penemuan bot dan mangsa oleh nelayan setempat.

Jelas beliau, bot tersebut telah ditunda ke Kuala Kemaman dan selamat sampai di jeti Kampung Geliga pada jam 4.30 petang manakala Op carilamat ditamatkan setengah jam kemudian.

“Kita mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua agensi terlibat khususnya polis dalam menyalurkan maklumat dan Persatuan Nelayan Kawasan Kijal dan Kuala Kemaman kerana membantu usaha pencarian.

Artikel Berkaitan:

“Maritim Malaysia menyeru orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan berikutan perairan timur semenanjung masih dalam musim Monsun Timur Laut.

“Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999,” katanya.