Anak bekas duta disambung reman lima hari lagi

Laporan Sinar Harian pada 24 Mei lalu. Gambar kecil: Zaiham
Laporan Sinar Harian pada 24 Mei lalu. Gambar kecil: Zaiham
A
A
A

BENTONG - Mahkamah Majistret Bentong pada Isnin membenarkan permohonan sambungan reman terhadap anak bekas diplomat selama lima hari lagi bermula Selasa hingga Sabtu ini.

Anak bekas diplomat yang juga suspek kedua itu sebelum ini direman selama tujuh hari oleh polis bermula 24 Mei hingga 30 Mei bagi membantu siasatan kes penemuan sebanyak 102 pokok ganja di sekeliling rumah bapanya di Janda Baik di sini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memberitahu, Majistret Shahrul Ekhsan Hasim membenarkan permohonan sambungan reman terhadap suspek berusia 53 tahun itu di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Sebelum ini, pihak polis gagal mendapatkan lanjutan reman kali terhadap suspek pertama yang juga bekas duta daripada Mahkamah Majistret Bentong.

Tempoh reman suspek pertama berusia 78 tahun itu berakhir pada Sabtu lalu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang bekas diplomat berstatus Datuk ditahan pada 21 Mei lalu selepas disyaki memiliki dan menanam 102 pokok ganja di sekeliling rumahnya di Janda Baik di sini.

Susulan tangkapan suspek tersebut, seorang lelaki berumur 53 tahun yang juga anak suspek ditahan di Shah Alam kira-kira jam 5.30 petang pada 23 Mei untuk membantu siasatan.