[VIDEO] Kes HFMD meningkat 27 kali ganda

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Sejumlah 65,535 kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) direkodkan setakat 28 Mei tahun ini iaitu peningkatan 27 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2021 yang hanya mencatatkan 2,333 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes dilaporkan bagi minggu epidemiologi (ME) 21/2022 adalah 18,602 kes berbanding ME 20/2022 iaitu hanya 15,548 kes di seluruh negara, di mana peningkatan sebanyak 19.6 peratus.

"Pada tahun 2022, sehingga 28 Mei, negeri Selangor menyumbang jumlah kes terbesar berbanding negeri-negeri lain iaitu 18,525 kes (28.27 peratus).

"Ia diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 8,088 kes (12.34 peratus); Perak 5,810 kes (8.87 peratus); Kelantan 4,905 kes (7.48 peratus) dan Sabah 4,077 kes (6.22 peratus).

"Sementara negeri-negeri lain sekitar atau kurang daripada 4,000 kes," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes yang dilaporkan itu, sebanyak 59,831 kes melibatkan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah manakala 4,593 kes lagi adalah kanak-kanak berumur tujuh tahun hingga 12 tahun.

Beliau menambah, berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) di Malaysia, tiga virus utama yang menyebabkan penularan penyakit HFMD dalam komuniti pada tahun 2022 adalah Coxsackie A16 (CA16), Coksackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71).

"Sehingga kini, terdapat tiga kes HFMD yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Kes pertama dan kedua disebabkan mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) dan disahkan dijangkiti EV71.

“Kes ketiga pula dimasukkan ke ICU kerana pemantauan selepas pembedahan perut,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, sehingga kini, sebanyak 1,505 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga negeri tertinggi mencatatkan kejadian wabak ialah WPKL dan Putrajaya iaitu 502 wabak (33.4 peratus) diikuti Selangor 172 wabak (11.4 peratus) dan Perak 168 wabak (11.2 peratus).

Katanya, wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.

"Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan pra-sekolah iaitu 913 wabak (61 peratus) diikuti oleh rumah persendirian dengan 526 wabak (35 peratus) dan pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 51 wabak (tiga peratus)," katanya.



BERITA SEMASA 31 MEI 2022

Sejumlah 65,535 kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) direkodkan setakat 28 Mei tahun ini iaitu peningkatan 27 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun lalu yang hanya mencatatkan 2,333 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes dilaporkan bagi minggu epidemiologi (ME) 21/2022 adalah 18,602 kes berbanding ME 20/2022 iaitu hanya 15,548 kes di seluruh negara, di mana peningkatan sebanyak 19.6 peratus.

Baca artikel penuh di sini https://bit.ly/3t5fION

Muzik: www.bensound.com

#SinarHarian #BeritaSemasa #HFMD" />