Wartawan baca khutbah, pengiktirafan tertinggi kepada pengamal media

Saifullah ketika membacakan khutbah Jumaat di hadapan kira-kira 2,000 jemaah di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh.
Saifullah ketika membacakan khutbah Jumaat di hadapan kira-kira 2,000 jemaah di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang memberi perkenan kepada pengamal media membacakan khutbah Jumaat merupakan satu pengiktirafan tertinggi terhadap profesion kewartawanan di negara ini.

Ketua Biro Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad berkata, beliau menjunjung kasih atas perkenan baginda yang memberikan ruang dan kepercayaan kepada pengamal media di negeri ini.

Saifullah
Saifullah

"Sesungguhnya perkenan baginda ini pengiktirafan yang besar kepada pengamal media.

"Saya juga terharu kerana ini adalah pengalaman pertama seumur hidup yang tidak akan dilupakan sepanjang lebih 15 tahun berada dalam profesion ini," katanya.

Anak kelahiran Bagan Datuk berusia 38 tahun itu antara tiga pengamal media yang mendapat perkenan Sultan Nazrin untuk membacakan khutbah bertajuk Kewartawanan: Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-nilai Islam di Masjid Sultan Azlan Shah di sini pada Jumaat.

Dua lagi ialah Editor, Rencana Agama dan Sastera Berita Harian, Mohd Nazmi Yaacob di Masjid Sultan Idris Shah II dan Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perak, Mohd Fahmi Mohd Nor di Masjid Muhibbuddin Shah, Ipoh.

Perkenan itu sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang akan berlangsung di Ipoh pada Sabtu dan Ahad ini.

Saifullah yang pernah menerima Anugerah Pengamal Media sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri tahun lalu berkata, penghargaan harus diberikan kepada seluruh petugas media yang menjadi barisan hadapan dalam menyampaikan berita sahih kepada masyarakat.

Katanya, atas rasa tanggungjawab, mereka sanggup berkorban tenaga, fikiran, masa dan harta benda demi memberikan maklumat yang tepat kepada orang ramai.

"Seperti mana terkandung di dalam teks khutbah, sebagai wartawan, adalah sangat penting sifat benar dan jujur diamalkan dalam menyampaikan berita mahu pun memberikan maklumat kepada masyarakat.

"Tanggungjawab sebagai penyampai berita ini harus dibuat secara bertanggungjawab berlandaskan nilai-nilai Islam agar pekerjaan yang dilakukan diterima sebagai ibadah dan diberikan ganjaran oleh ALLAH SWT," katanya yang juga bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah.

Sementara itu, Mohd Nazmi, 45, berkata, khutbah berkisar peranan dan tanggungjawab kewartawanan penting kerana masyarakat ketika ini berada pada zaman yang disebut tidak stabil (volatility), tidak pasti (uncertainty), rumit (complexity) dan kabur (ambiguity) (VUCA).

Mohd Nazmi
Mohd Nazmi

Malah katanya, peranan wartawan yang bertanggungjawab menyampaikan berita secara benar dan jujur turut dicabar dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Wartawan terutama dalam konteks Islam bukan semata-mata mencari dan menyampaikan maklumat, tetapi menyaring, menimbang dan menghasilkan berita yang boleh membantu manusia membuat keputusan betul dan benar dalam hidup mereka.

"Betul dan benar ini tidak mungkin dapat disampaikan oleh proses teknologi digital dan AI, melainkan berkait dengan pandangan alam atau worldview wartawan berlandaskan Islam," katanya.

Mohd Fahmi, 30, pula, berharap kehadiran mereka di mimbar Jumaat dapat memberi kefahaman kepada orang ramai akan peranan dan cabaran dihadapi pengamal media.

Mohd Fahmi
Mohd Fahmi

Anak kelahiran Bota itu akui agak gementar untuk menerima tanggungjawab sebagai khatib, namun berbesar hati kerana dapat menyampaikan mesej penting kepada masyarakat.

"Peluang membaca khutbah ini tidak semua dapat dan bagi saya semestinya saya berbesar hati atas penghormatan ini.

"Perkenan baginda satu amanah yang kami pikul mewakili rakan-rakan wartawan seluruh negara," katanya.

Minggu lalu, bersempena sambutan Hari Belia Negara, Sultan Nazrin turut memberi perkenan kepada 24 pemimpin belia membaca khutbah di masjid-masjid daerah di seluruh negeri.

Pada 12 Mei, baginda turut memperkenan 14 pendidik untuk membaca khutbah sebagai mengiktiraf peranan golongan tersebut pada sambutan Hari Guru.