Undi DAP: 'MCA tak perlu kecil hati' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

BAYAN LEPAS - Parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya memperkukuhkan parti masing-masing untuk memperoleh sokongan daripada ahli serta pengundi-pengundi yang bukan ahli.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN dan semua parti komponen juga perlu terus memperkasakan parti masing-masing kerana ia merupakan prinsip utama.

Selain itu, beliau juga mengingatkan kesemua 19 parti supaya tidak berkecil hati setelah kerjasama secara 'smart partnership' dalam Kerajaan Perpaduan telah dibentuk.

"Kita mengingatkan diri kita sendiri di bawah BN agar terus diperkasakan, bukan sahaja MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) adalah teras kita malah kita juga mempunyai parti bersekutu di dalam BN.

"Yang penting adalah kerjasama dengan semua parti di dalam 'outfit' BN, itu prinsip yang pertama namun realiti politik baru di dalam Kerajaan Perpaduan, kita harus menyantuni keberadaan parti-parti dari kolaborasi ini.

"Terdapat 19 parti yang berada di dalamnya. Saya tidak mahu mana-mana parti berkecil hati bila kita bekerjasama secara 'smart partnership' ini sebaliknya perkukuhkan parti masing-masing untuk memperoleh dokongan daripada ahli-ahli dan pengundi yang bukan ahli," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Semicon Asia Tenggara 2023 di Pusat Konvensyen Spice Arena di sini pada Selasa.

Kata beliau, parti komponen BN khususnya MCA tidak perlu berkecil hati dalam kerjasama yang dijalankan BN dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.

"Kerjasama antara BN dan PH adalah realiti politik baharu dalam kerajaan ketika ini yang mana setiap parti harus menyantuni keberadaan parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.

"Pengukuhan parti adalah untuk memberikan tanggapan yang positif kepada parti, bukan kesan sebaliknya yang berlaku disebabkan oleh perkara-perkara lampau.

"Oleh demikian, memperkukuhkan parti masing-masing untuk pengembangan daya sokongan yang lebih tersebar luas itu lebih penting daripada melayani rasa kecil hati oleh mana-mana parti politik," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ditanya berkenaan kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang mengingatkan beliau supaya meletakkan kepentingan parti komponen dalam BN terlebih dahulu, bukannya mengutamakan PH, khasnya DAP.

Dalam kenyataannya itu semalam, Sin Woon turut menegaskan supaya Ahmad Zahid berpegang utuh kepada prinsip, selain berwaspada dalam hal berkaitan kerjasama antara kedua-dua gabungan.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta pengundi parti itu di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) memilih calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Maslan berkata, tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.