'Anda ahli politik paling berbakat dalam generasi kita' - KJ

Tangkap layar hantaran pada Instagram Story Khairy pada Isnin.
Tangkap layar hantaran pada Instagram Story Khairy pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melahirkan ucapan tahniah kepada Rafizi Ramli atas kejayaan bekas Ahli Parlimen Pandan itu merebut jawatan Timbalan Presiden pada Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022.

Khairy yang juga Menteri Kesihatan turut mengalu-alukan penglibatan semula Rafizi dalam politik negara dan menyifatkan bekas Naib Presiden PKR itu sebagai ahli politik paling berbakat dalam generasinya.

“Tahniah Rafizi Ramli kerana menang jawatan Timbalan Presiden PKR dan selamat kembali aktif berpolitik.

"Saya selalu mengatakan bahawa anda adalah ahli politik paling berbakat dalam generasi kita dan mendoakan yang terbaik untuk anda (walaupun berada dalam pasukan yang bertentangan)," tulis Khairy menerusi hantaran di Instagram Storynya pada Isnin.

Keputusan tidak rasmi bagi pemilihan PKR penggal 2022-2025 pada Isnin menyaksikan Rafizi menang jawatan Timbalan Presiden PKR apabila berjaya meraih 67,895 undi sekali gus mengetepikan pencabarnya, Saifuddin Nasution dengan memperoleh 48,979 undi, iaitu perbezaan sebanyak 18,916 undi.

Menerusi hantaran tersebut, Khairy turut berkongsikan gambar lama beliau bersama Rafizi sambil turut berseloroh.

“Maafkan saya untuk gambar ini... Ia tidak menggambarkan realiti semasa yang mana ia lebih 'favourable' kepada anda," katanya sambil disusuli dengan emoji ketawa.

Pengumuman keputusan rasmi akan dibuat di Kongres Nasional PKR yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Jun ini.