'Tidak sisih pemimpin lama' - Prabakaran

Tian Chua (kiri), Prabakaran
Tian Chua (kiri), Prabakaran
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak wajar parti menyisihkan mana-mana pemimpin yang sudah lama berkhidmat, kata P Prabakaran selepas berjaya memenangi Ketua Cabang Batu dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022.

Kenyataan Ahli Parlimen Batu itu dipercayai merujuk kepada keputusan pemilihan parti Cabang Batu di mana beliau berjaya menewaskan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua.

“PKR melalui proses demokrasi dengan pemilihan parti ini adalah tidak wajar kita menyisihkan anggota yang sudah lama berbakti pada parti. Oleh itu, saya akan mengumpulkan segala tenaga dan bakti untuk kuatkan Cabang Batu.

“Sebagai ketua cabang yang baru, saya menyeru buat semua anggota PKR Batu, dari anggota lama dan baru bersama-sama kita berganding bahu untuk memperkuatkan Parlimen Batu ke arah yang lebih baik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Isnin.

Mengulas lanjut Prabakaran berkata, akan bekerjasama dengan mana-mana pihak dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) untuk menguatkan Parlimen Batu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau turut menyifatkan keputusan pemilihan dibuat ahli parti kali ini juga membuktikan PKR bersedia melakukan perubahan untuk memberi nafas baharu kepada parti, terutama generasi muda untuk berada di barisan hadapan.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi yang dikongsikan melalui laman sesawang Pemilihan PKR 2022, Tian Chua merupakan pemimpin lama kecundang dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Batu selepas tewas kepada pencabarnya, Prabakaran.

Tian Chua yang merupakan penyandang bagi jawatan naib presiden hanya memperoleh 306 undi, manakala lawannya mendapat 517 undi.