mk-logo
Berita
Mahfuz: Semoga Sanusi insaf dan tak 'koyak' lagi
Diterbitkan:  May 19, 2023 8:56 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar melahirkan rasa lega atas permohonan maaf Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor kerana memfitnahnya berkaitan tuduhan perpindahan syarikat judi di negeri itu.

"Alhamdulillah, apa yang saya boleh katakan ialah nampaknya Sanusi akur dengan hakikat bahawa beliau telah memfitnah saya. Semoga beliau insaf.

"Mana kan tidak, jika Sanusi merasakan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan itu tidak betul, sudah pasti beliau akan merayu ke Mahkamah Persekutuan.

"Tetapi memandangkan Sanusi tidak teruskan dengan rayuan ke peringkat Mahkamah Persekutuan, nampaknya Sanusi akur dan bersetuju dengan apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bahawa Sanusi telah memfitnah saya," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata kenyataan Sanusi itu menunjukkan dia tidak ada langsung sebarang kaitan dengan pemindahan premis pusat judi Sports Toto seperti yang difitnah pemimpin PAS itu.

"Keputusan mahkamah yang mendapati Sanusi bersalah memfitnah saya membuktikan tidak pudar sensitiviti saya terhadap isu-isu seperti yang didakwa oleh Sanusi dalam fitnahnya terhadap saya. Alhamdulillah.

"Semoga keinsafan Sanusi ini berkekalan dan tidak lagi koyak," katanya lagi.

Mahkamah Rayuan pada 3 April lalu menolak rayuan Sanusi untuk mengetepikan saman fitnah Mahfuz yang juga naib presiden Amanah.

Peguam Mahfuz, Noorazmir Zakaria, berkata panel hakim juga menerima rayuan pihaknya agar jumlah ganti rugi yang ditetapkan mahkamah tinggi dinaikkan dari RM50,000 kepada RM120,000.

Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS mengaitkan Mahfuz - selaku wakil rakyat Pokok Sena ketika itu- dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan terbabit.

Mahfuz juga mendakwa Sanusi menerbitkan video kira-kira lapan saat pada 27 Julai 2019 yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

Dalam kenyataan di Facebook juga, Sanusi juga menyatakan kronologi kesnya sejak mengemas kini status fitnah itu pada 30 Julai 2019.

“Atas saman fitnah yang difailkan oleh Mahfuz Omar terhadap saya berkaitan Hantaran FB tersebut, Mahkamah Tinggi pada 8.11.2021 dan Mahkamah Rayuan pada 3.4.2023 telah memutuskan bahawa hantaran FB saya tersebut adalah satu kenyataan fitnah terhadap Mahfuz Omar, dan saya diperintahkan untuk memohon maaf.

“Oleh yang demikian, saya dengan ini memohon maaf kepada Mahfuz Omar atas kenyataan yang dibuat di dalam Hantaran FB tersebut,” kata menteri besar Kedah itu pada hari ini.

Lihat Komen
ADS