Warga emas didakwa tembak kucing guna senapang angin

Aziz (tiga kiri) tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan di mahkamah berlainan di sini, pada Rabu.
Aziz (tiga kiri) tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan di mahkamah berlainan di sini, pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu, atas pertuduhan menembak seekor kucing menggunakan senapang angin pada Jun lalu.

Aziz Tambi, 62, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan pertuduhan dia didakwa menembak seekor kucing dengan senapang angin sehingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap kucing tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai di sini, kira-kira 2.30 petang pada 18 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 mengikut Seksyen 29(1)(c) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Pada prosiding berasingan di hadapan Majistret Nabilah Nizam, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki selaras senapang angin tanpa lesen sah pada 19 Jun 2022.

Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan masing-masing dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Muhamad Ehsan Nasarudin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dan RM5,000 terhadap tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Mohd. Ishak Kari merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh telah berusia dan hanya melakukan kerja-kerja kampung dengan kadar upah RM50 sehari.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi Seksyen 29(1)(c) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan RM2,500 di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Selain itu mahkamah turut menetapkan tarikh 11 Januari tahun depan sebagai sebutan semula kes.

Sinar Harian pada 21 Jun lalu melaporkan seorang warga emas dan anaknya ditahan polis selepas disyaki menembak mati seekor kucing milik jiran yang memasuki rumah mereka menggunakan selaras senapang angin di Bukit Rambai

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2.30 petang selepas kucing bernama Molly masuk ke rumah suspek.