Enam ahli panel Badan Pemantau Bebas terima surat cara, lantikan

Azam (tengah) bergambar bersama enam ahli panel Badan Pemantau Bebas SPRM yang menerima surat cara dan pelantikan pada Isnin.
Azam (tengah) bergambar bersama enam ahli panel Badan Pemantau Bebas SPRM yang menerima surat cara dan pelantikan pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Enam ahli panel Badan Pemantau Bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima surat cara dan pelantikan pada Isnin.

Mereka terdiri daripada lima ahli Panel Penilaian Operasi (PPO) dan seorang ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) baharu bagi menggantikan ahli panel bebas yang meletak jawatan pada Disember tahun lalu.

Lima ahli PPO dipengerusikan oleh bekas Timbalan Ketua Bahagian II Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat; bekas Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Datuk Azimah Abd Hamid; bekas Timbalan Pengarah Bahagian Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan, Bank Negara Malaysia, Dr Mazlan Ahmad.

Sementara itu, Naib Pengerusi Eksekutif, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dilantik sebagai ahli PPPR yang baharu.

SPRM menerusi kenyataannya memaklumkan surat cara pelantikan disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Isnin.

"Kesemua individu yang dilantik terdiri daripada golongan profesional serta pakar daripada pelbagai bidang untuk mewakili masyarakat bagi memantau pelaksanaan fungsi dan operasi SPRM," katanya.

Tempoh pelantikan ahli PPO dan PPPR berkuat kuasa mulai 1 April 2022 hingga 31 Mac 2024.