Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPM bincang kenaikan gaji guru ada kelayakan akademik lebih tinggi

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam perbincangan berhubung saranan menaikkan gaji guru yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi sebagai pengiktirafan kepada mereka.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM memandang serius saranan tersebut dan berpandangan ia mestilah selari dari segi kualitifikasi bermakna integriti kualiti dan perkhidmatan perguruan yang menjadi tumpuan kerajaan.

"KPM ambil pandangan itu secara serius dan saranan berkaitan kenaikan gaji penjawat awam seperti yang diumum Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) akan jadi tumpuan awal sebaik saja ekonomi negara pulih.

"Ia juga tidak lari daripada hasrat KPM yang melihat perkara sama.

"Kami sedang berada dalam radar perbincangan (saranan itu) dan dalam konteks untuk menaikkan gaji guru serta dari segi kualitifikasi, maknanya integriti, kualiti dan perkhidmatan perguruan, ini menjadi tumpuan kita," katanya kepada pemberita di Nibong Tebal hari ini.

Dia ditemui selepas merasmikan Karnival Kita Madani daerah Seberang Perai Selatan di Sungai Duri, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang Sabri Said.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar berhubung saran kepada kerajaan agar menaikkan gaji guru yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi sebagai pengiktirafan kepada mereka kerana berusaha memperkemaskan diri bagi memantapkan lagi pendidikan demi anak bangsa.

Setiausaha Kluster Pendidikan & Modal Insan Majlis Profesor Negara Anuar Ahmad dilaporkan berkata ketika ini gaji guru yang memiliki sarjana dan doktor falsafah (PhD) adalah sama, jsuteru ia wajar untuk dikaji semula.

Dia turut dilaporkan berkata kerajaan harus memberikan insentif kepada guru yang mempunyai kelayakan lebih tinggi agar mereka dapat merasakan pentingnya untuk sambung belajar bukan sahaja menambah ilmu, sebaliknya boleh meningkatkan gaji dalam bidang yang diceburi.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata KPM sentiasa memberi galakan dan tiada sebarang halangan untuk guru menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana intergiriti perguruan dan kualiti guru juga meningkat dari semasa ke semasa.

"Saya ingat dari segi guru nak sambung pelajaran tidak jadi halangan malah KPM menggalakkan.

"Saya juga membuka ruang yang luas untuk mereka (sambung belajar) lagipun guru sekarang ini sangat berkelayakan dan terlatih dalam bidang mereka," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS