Perak tubuh jawatankuasa khas isu Tanah Rizab Melayu di Sitiawan - Utusan Malaysia

Perak tubuh jawatankuasa khas isu Tanah Rizab Melayu di Sitiawan

SAARANI Mohamad pada sidang DUN Perak di Ipoh. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak telah menubuhkan jawatankuasa khas dan melaksanakan beberapa tindakan berhubung isu Tanah Rizab Melayu seluas 3,214 hektar di Sitiawan yang dikatakan telah berpindah milik kepada bukan Melayu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara langkah awal yang telah diambil oleh PTG dalam isu itu ialah melakukan sekatan dengan memasukkan Kaveat Pendaftar bagi kesemua tanah yang terlibat untuk menghalang sebarang transaksi atau pindah milik kepada bukan Melayu.

Menurutnya, sekatan melalui Kaveat Pendaftar turut dilakukan bagi lot-lot lain yang terlibat dengan projek pembangunan khususnya di Kawasan Sitiawan 2.

“Kemasukan Kaveat Pendaftar ini bertujuan supaya sebarang pindah milik selepas ini hanya dibenarkan kepada orang Melayu sahaja agar Seksyen 6 Enakmen Rizab Melayu dapat dikuatkuasakan iaitu mengembalikan semula status tanah berkenaan sebagai Tanah Rizab Melayu Pegangan Melayu.

“Malah, ada sebahagian tanah di kawasan berkenaan telah pun dikembalikan status kepada Tanah Rizab Melayu Pegangan Melayu.

“Misalnya pembangunan di Lot 16684 yang telah dipecahkan kepada GRN 166179 Lot 74524 berjumlah 993 hektar bagi pembangunan 9,523 unit rumah. Daripada jumlah itu, sebanyak 9,152 (95 peratus) unit rumah telah dijual kepada orang Melayu dan dimasukkan endorsan Kemasukan Rizab Melayu,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga telah memutuskan sebarang penjualan lot-lot pembangunan di kawasan Sitiawan 2 selepas ini hendaklah 100 peratus kepada orang Melayu.

Beliau berkata, ini bermakna pemilikan aset dan hakmilik Tanah Rizab Melayu Pegangan Melayu di kawasan berkenaan akan dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Katanya, kerajaan negeri melalui PTG juga melaksanakan proses pemutihan dengan menyemak dan menilai semula kriteria sedia ada untuk syarikat-syarikat yang disenaraikan dalam Jadual Ketiga Enakmen Rizab Melayu bagi permohonan pemberimilikan tanah.

Jelasnya, mana-mana syarikat yang didapati sudah tidak memenuhi sifat dan kriteria sebagai syarikat Melayu, akan dikeluarkan daripada senarai Jadual Ketiga Enakmen Rizab Melayu.

“PTG menyediakan prosedur bagi mengetatkan syarat-syarat untuk sebarang pemberimilikan melalui Seksyen 7 Enakmen Rizab Melayu bagi tanah-tanah berstatus rizab Melayu. Hanya yang berkelayakan dan menepati syarat digariskan dalam Seksyen 2 Enakmen Rizab Melayu boleh dipertimbangkan membuat permohonan bagi tujuan tersebut.

“Kerajaan negeri melalui PTG mengadakan rundingan dengan pemilik tanah termasuk pemaju supaya tanah-tanah yang dimiliki sama ada melibatkan kawasan di Sitiawan 2 atau di tempat lain diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu. Hasilnya, setakat ini, sejumlah 183.3 hektar telah dikenal pasti oleh PTG untuk diwartakan sebagai kawasan rizab Melayu setelah mendapat persetujuan pemilik tanah yang membangunkan kawasan tersebut,” katanya.

Saarani berkata, isu itu menimbulkan kekeliruan, malah ada yang mengambil kesempatan menjadikan ia isu politik berbaur perkauman dan agama selepas rakaman video sidang akhbar beliau mengenai penjelasan beliau berhubung isu itu telah disunting sehingga maksud sebenar yang cuba disampaikan telah disalah erti.

Katanya, kerajaan negeri mendapati bahawa tanah berkenaan yang asalnya dimiliki syarikat Melayu, tidak pernah dipindah milik melalui pihak berkuasa tanah iaitu PTG negeri, sebaliknya diperoleh oleh syarikat bukan Melayu melalui penjualan syer saham syarikat Melayu.

Menurutnya, ia adalah satu kelompongan yang perlu diberi perhatian kerana, tindakan lembaga pengarah syarikat yang terlibat iaitu Nadiagrobusiness Sdn Bhd membenarkan penjualan saham kepada bukan Melayu meskipun mengetahui tindakan itu akan mengakibatkan Tanah Rizab Melayu yang dimilikinya akan jatuh kepada bukan Melayu, jelas bercanggah dengan Enakmen Rizab Melayu.

“Melihat kepada senario ini, saya sangat-sangat bimbang jika tidak ditangani dengan tuntas, kelompongan ini bukan sahaja boleh mengakibatkan kekeliruan dan kecelaruan dalam sistem urus tadbir tanah, malah akan menjadi penghalang besar kepada usaha memartabatkan Tanah Rizab Melayu bukan sahaja di Perak, tetapi juga di negeri-negeri lain.

“Oleh itu, saya akan membawa isu ini kepada pengetahuan Perdana Menteri untuk diambil perhatian dan tindakan sewajarnya.

“Satu usaha menyeluruh mesti digerakkan bagi memperkukuhkan ekosistem perundangan dan dasar yang berkaitan dengannya, sama ada di peringkat negeri mahu pun Persekutuan supaya isu seumpama ini dapat ditangani sebaik-baiknya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya