Lelaki muat naik hantaran hasutan di TikTok ditahan

Gambar kecil: Noorsiah
Gambar kecil: Noorsiah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemilik akaun media sosial Tiktok ditahan kerana disyaki memuat naik hantaran berunsur hasutan.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun itu telah ditahan di Kuala Muda, Kedah pada Sabtu.

"Polis turut merampas sebuah telefon bimbit bersama sekeping kad sim, suspek disyaki telah memuat naik hantaran berunsur hasutan bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Noorsiah berkata, lelaki itu telah ditahan reman selama tiga hari bermula Ahad hingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar menghormati institusi kehakiman negara yang dirangka kewujudannya berpandukan perlembagaan persekutuan untuk menegakkan keadilan berlandaskan undang-undang.

"Mana-mana individu atau pihak yang didapati dengan sengaja mengeluarkan sebarang kenyataan bagi maksud menghina atau memperlekeh sistem perundangan malaysia akan diambil tindakan tegas," katanya.