Ejen perdaya pelanggan rumah sewa tidak wujud ditahan

Mohd Zaidi
Mohd Zaidi
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan seorang ejen memperdayakan pelanggan dengan menawarkan rumah sewa tidak wujud membawa padah apabila dia ditahan polis pada Selasa.

Wanita berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 8.30 pagi selepas satu laporan polis dibuat oleh pengadu lelaki yang mendakwa dia telah ditipu berkaitan urusan rumah sewa sehingga mengalami kerugian RM1,500.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa yang juga penjawat awam berusia 33 tahun itu ditipu selepas melihat iklan rumah sewa di Beverly Hills Bundusan, Penampang melalui laman sosial Facebook.

"Pengadu yang berminat dengan iklan itu kemudian telah berurusan melalui aplikasi WhatsApp sebelum bertemu dengan ejen berkenaan di Kepayan Ridge untuk berbincang dan membuat bayaran RM1,500 sebagai deposit.

"Suspek berjanji pengadu boleh masuk ke rumah berkenaan pada 17 September lalu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun, Mohd Zaidi berkata, pengadu telah meminta alamat rumah untuk tujuan mahu melihat rumah berkenaan tetapi suspek memberikan pelbagai alasan sebelum gagal dihubungi dan wanita terbabit berjaya ditangkap untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku menawarkan rumah sewa melalui Facebook kepada mangsa dan wang itu digunakan untuk kegunaan sendiri.

"Siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan masih diteruskan dan kemungkinan ada laporan baharu yang akan menyusul," jelasnya.

Artikel Berkaitan: