EKONOMI

SSM, NFCC meterai kerjasama strategik banteras jenayah kewangan di Malaysia

09/08/2022 05:46 PM

KUALA LUMPUR,  9 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini memeterai Kerjasama Strategik dengan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dalam usaha membanteras kegiatan jenayah kewangan di Malaysia.

Menurut SSM dalam kenyataan hari ini, langkah itu merupakan usaha sama bersinergi kedua-dua badan penguatkuasaan agar kedua-dua pihak dapat memanfaatkan dan berkongsi data, maklumat, pengetahuan, kepakaran dan pengalaman, kemampuan atau perkhidmatan masing-masing bagi usaha tersebut.

Katanya selain itu, kedua-dua pihak akan mengambil inisiatif secara bersama dalam aspek operasi, dasar, pencegahan, penggunaan sumber manusia, kepakaran dan latihan, ke arah meningkatkan kapasiti, kemampuan dan keberkesanan dalam membanteras jenayah kewangan di Malaysia berlandaskan undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa.

“Perkongsian data dan maklumat ini selaras dengan tanggungjawab dan kuasa yang diperuntukkan kepada SSM di bawah Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001 [Akta 614].

“Ini untuk mendorong dan menggalakkan tatalaku yang wajar dalam kalangan pengarah, setiausaha, pengurus dan pegawai lain sesuatu perbadanan serta memastikan segala kegiatan korporat dan perniagaan dijalankan mengikut norma-norma pentadbiran korporat antarabangsa yang baik,” katanya. 

Bagi NFCC, katanya Akta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019 [Akta 822] memperuntukkan antara lainnya tanggungjawab untuk membina dan menyelenggara satu sistem maklumat data berpusat berhubung jenayah kewangan sebagai teras menyokong operasi bersepadu serta membantu agensi kerajaan dan penguatkuasa dalam siasatan dan pencegahan jenayah kewangan.

Ia juga selaras dengan kuasa yang diberikan di bawah Akta 822 untuk NFCC mendapatkan maklumat dan data yang relevan daripada agensi kerajaan dan penguatkuasa bagi tujuan ini, katanya.

“Kedua-dua pihak berharap dengan termeterainya Kerjasama Strategik ini, kegiatan jenayah kewangan di Malaysia dapat dibendung dan dikawal dengan sebaiknya untuk mengurangkan kesan buruk aktiviti ekonomi jenayah dan menggalakkan integriti dan kestabilan dalam pasaran kewangan sektor korporat secara amnya,” menurut SSM.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan