Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganalisis: PRN ujian sebenar imej kestabilan kerajaan

Sementara Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan memaparkan kestabilan kerajaan semasa, penganalisis berpandangan ujian sebenar berkenaan hal itu adalah pada PRN yang bakal diadakan.

Bercakap dengan KiniTV, pakar berkata penerimaan dalam kalangan akar umbi parti dalam kerajaan juga diuji dalam rundingan kerusi yang sedang berlangsung - satu proses yang dilihat sukar berbanding yang dipaparkan atau dinyatakan pimpinan parti.

Membangkitkan kemunculan dan ucapan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke di WTC - iaitu lokasi yang cukup sinonim dengan seteru lamanya, Umno - Penganalisis politik dari Akademik Penyelidikaan Strategik Nusantara (NASR) Dr Azmi Hassan berkata ia tidak akan menimbulkan masalah di kalangan pemimpin Umno.

Namun, hal sama tidak boleh dinyatakan di pihak akar umbi.

"Pada masa ini, ia (penerimaan) belum ada di peringkat akar umbi. Misalnya di peringkat ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"Di peringkat akar umbi, (kerjasama dan penerimaan) masih boleh dipersoalkan," katanya.

Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia turut berkongsi sentimen sama.

Berdasarkan pemerhatiannya, Azizuddin berkata gabungan parti dalam kerajaan memerlukan sedikit masa untuk meyakinkan para penyokong dan akar umbinya.

Dia juga berkata adalah sesuatu yang "malang" apabila tiada satu gabungan politik yang dapat menubuhkan kerajaan selepas PRU15, yang menyebabkan kerajaan gabungan ditubuhkan.

"Kenapa saya kata malang adalah kerana semua parti ini sedia untuk ada dasar parti sendiri, terutama untuk menubuhkan kerajaan.

"Tapi sekarang mereka tubuhkan gabungan yang jauh lebih besar untuk tubuhkan kerajaan dan yang lebih menakjubkan - untuk membawa kestabilan dalam kerajaan dan politik kita.

"Jadi, sekarang mereka tunjukkan kepada dunia yang kerajaan stabil, walaupun ada 19 parti (di dalamnya)," katanya lagi.

Kedua-dua penganalisis setuju rundingan kerusi untuk PRN menjadi faktor penting kepada kestabilan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Merujuk negeri yang dipimpin PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, Azmi berkata menjalankan rundingan pembahagian kerusi secara lancar adalah mencabar di negeri-negeri ini.

"Saya rasa ini isu besar, ia bergantung kepada rundingan kerusi. Kita ambil contoh paling ekstrem, adakah DAP akan beri sejumlah kerusi kepada Umno atau BN di Pulau Pinang?

"Ia bukan masalah besar di Kelantan, Terengganu dan Kedah (yang ditadbir PAS) yang lebih mudah untuk bahagikan kerusi."

Berhubung rundingan kerusi, Azizuddin berkata masa menjadi faktor penting dan orang ramai mungkin akan kecewa jika masalah yang timbul di peringkat awal tidak diselesaikan.

"Jika mereka buat (keputusan dan tunggu) sehingga saat akhir, ini membimbangkan saya, kerana mereka tiada masa untuk meredakan masalah dengan peringkat akar umbi. Jadi sebab itu mereka perlu selesaikan di peringkat awal," tegasnya.

Azizuddin dan Azmi menyuarakan keyakinan yang BN dan PH ada peluang untuk mendapatkan kemenangan selesa, termasuk di Kedah, jika parti komponen dalam kerajaan dapat bekerjasama dalam rundingan kerusi serta meyakinkan penyokong dan akar umbi mereka.

"Jika anda lihat statistik PRU15, kombinasi undi BN dan PH jauh lebih banyak berbanding Bersatu dan PAS. Saya rasa (keadaan itu) di kebanyakan (kerusi) di negeri PH dan beberapa (kerusi) di Kedah," kata Azmi.

Isu kalimah 'Allah'

Walaupun Anwar memberi penghargaan kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan ahli parlimen daripada parti itu yang membolehkan kerajaan ditubuhkan, Azmi berkata parti itu mungkin berdepan tugas berat dalam mendapatkan undi orang Melayu.

"Kalimah 'Allah' adalah isu besar dan PAS telah gunakannya, dengan berkata Umno tidak kompeten dalam menanganinya walaupun jadi sebahagian daripada kerajaan.

"Isunya sekarang adalah sekuat mana Umno untuk tarik undi Melayu. Tapi jika anda ambil kira isu 'kalimah Allah', Umno akan berdepan banyak masalah daripada pengundi Melayu," katanya.

Ia selepas keputusan kerajaan untuk menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan Jill boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab lain bagi tujuan pembelajaran.

Kerajaan pada mulanya merayu terhadap keputusan itu tetapi memberi notis pada 18 April tahun ini bahawa ia tidak akan meneruskan rayuan itu.

Bagi Azizuddin, bukan Umno sahaja yang perlu menjadi parti Melayu yang kuat, tetapi turut melibatkan parti-parti lain yang mewakili Malaysia sebagai negara berbilang kaum.

"Kita perlukan kerjasama semua parti politik untuk bersama-sama dan ada satu suara, tegakkan satu dasra utama iaitu Malaysia Madani. Sebab itu Anwar adalah kuncinya.

"Ada kala kita memerlukan satu parti berasaskan kaum Cina atau didominasi kaum Cina dalam kerajaan. Kita tidak boleh bergantung kepada MCA atau Gerakan. Jadi DAP adalah parti paling kuat dalam soal ini.

"Jadi sebab itu saya rasa penting untuk PKR jadi parti utama, tetapi ia mesti bersama-sama BN, diketuai - misalnya - oleh Umno. Tetapi DAP tetap perlu ada (bersama)," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS