EKONOMI

PERNAS SUNTIK PELABURAN RM5 JUTA BANTU FTW RACING KE ARAH FRANCAIS

14/03/2023 08:20 PM

PETALING JAYA, 14 Mac (Bernama) -- Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) memberi suntikan pelaburan berjumlah RM5 juta kepada FTW Ventures Sdn Bhd melalui jenamanya FTW Racing sebagai usaha membantu jenama itu ke arah perniagaan francais. 

Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainuddin berkata daripada jumlah itu sebanyak RM2.5 juta telah membolehkan FTW Racing mendapat hak eksklusif bagi jenama Fox Racing untuk Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

“Selain itu, Pernas memberikan suntikan pelaburan RM2.5 juta lagi bagi syarikat tersebut berkembang sehingga mendapat hak penjualan tunggal untuk jenama terkemuka lain di dalam industri sukan lasak serta membuka outlet di negara jiran.

“Melalui bantuan Pernas, FTW Ventures menyasarkan untuk membuka 14 outlet di seluruh Malaysia dalam masa 24 bulan,” katanya pada Majlis Perasmian Outlet FTW Racing di sini hari ini.

Terdahulu Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator K. Saraswathy merasmikan pembukaan outlet FTW Racing bersama Ketua Pegawai Eksekutif FTW Ventures Sdn Bhd Hairolsham Abu Bakar.

Hazimah berkata FTW Ventures telah menyertai Program Xcelerator yang dianjurkan oleh Pernas pada 2021 dan melalui penyertaan program itu, Pernas menyasarkan untuk mendaftarkan jenama FTW Racing sebagai francaisor selewat-lewatnya pada Julai 2023. 

“Program Xcelerator yang disertai oleh FTW Ventures dan usahawan lain merupakan program membimbing serta membangunkan usahawan berpotensi ke arah perniagaan francais. 

“Fokus Pernas adalah menggalakkan lebih banyak penyertaan usahawan di peringkat B40 dan M40 dalam industri francais menerusi pembangunan perniagaan serta sokongan pembiayaan,” katanya.

Sementara itu, Hairolsham berkata pada 2022, FTW telah mencatatkan jualan RM11 juta menerusi penjualan produk untuk jenama bagi alat ganti motosikal, aksesori dan jenama mereka sendiri. 

“Terima kasih kepada pihak Pernas kerana memberi sokongan dan melalui pemegang hak eksklusif ini FTW Racing menyasarkan potensi jualan hingga empat kali ganda tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan